Pengurus kelahiran Jerman, Hansi Flick dilaporkan sudah sah bergelar pengendali kelab gergasi LaLiga, Barcelona setelah memeterai kontrak selama dua tahun.
Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut disahkan oleh wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano dalam satu hantaran di laman Facebook peribadinya sebentar tadi.
Baca Juga:
- Xavi Nasihati Bakal Pengurus Barcelona, ‘Anda Akan Menderita’
- RASMI: Barcelona Buat Keputusan Pecat Xavi Hernandez
- Presiden LaLiga Tak Bimbang Dengan Masalah Kewangan Barcelona
Flick yang dipecat daripada jawatan pengurus skuad kebangsaan Jerman pada September lalu memang merupakan pilihan utama Presiden Barcelona, Joan Laporta bagi menggantikan Xavi Hernandez.
Malah pada 2021, Laporta dikatakan lebih cenderung untuk merekrut Flick sebagai pengganti kepada Ronald Koeman tetapi ia gagal direalisasikan kerana pengurus berusia 59 tahun itu sudah bersama skuad kebangsaan Jerman.
Meskipun tidak mampu menghadirkan impak positif bersama Jerman, Flick mempunyai reputasi hebat ketika membimbing Bayern Munich bermula 1 Julai 2019 hingga penghujung musim 2020/21.
Musim 2019/20 sudah pastinya menjadi kempen terbaik buat Hansi Flick selepas berjaya mengemudi Bayern Munich muncul juara ‘treble’ dengan trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Bundesliga dan DFB Pokal dimenangi.
Lebih menarik dalam saingan UCL, Bayern tanpa belas kasihan telah membelasah Barcelona 8-2 di Nou Camp.
Dengan kehadiran Flick sebagai pengendali The Blaugrana, beliau akan kembali bekerjasama dengan penyerang berbisa, Robert Lewandowski.
Apa yang pasti tugas berat bakal menanti Hansi Flick kerana seperti diketahui Barcelona pada ketika ini tidak berada di prestasi terbaik serta turut berdepan masalah kewangan.