Isu gaji minimum terhadap imam sehingga kini masih lagi menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat di mana ramai yang berpendapat bahawa masih wujud pekerja yang tidak menerima gaji atau elaun yang setimpal dengan kerjanya.
Tetapi berbeza pendekatan yang diambil oleh sebuah masjid di Liverpool yang dikenali sebagai Masjid Al-Rahma yang mana membuka tawaran lumayan kepada mereka yang layak dan berminat untuk mengisi jawatan sebagai imam.
Tawar gaji mencecah RM223,798 setahun
Perkara tersebut dikongsikan menerusi akaun Instagram @alrahmamosque minggu lalu dan mendapat perhatian memandangkan jumlah gaji yang ditawarkan cukup lumayan iaitu sekitar £30,000 hingga £38,000 (~ kira-kira RM223,798).
Berdasarkan carian kami, purata gaji pekerja di Liverpool,UK hanya sekitar £32,731 (~RM192,754.67) setahun sementara jawatan imam pula hanya sekitar £27,605 (RM162,589.01) setahun untuk tahun 2023.
Hal ini sekaligus memperlihatkan penawaran gaji imam berkenaan tampil lebih tinggi berbanding standard yang biasa.
Hadir dengan tanggungjawab yang besar
Namun gaji yang besar turut diikuti dengan tanggungjawab yang besar. Liverpool Muslim Society (LMS) juga menetapkan kriteria imam berkenaan haruslah memberikan inspirasi untuk menjalankan segala aktiviti masjid dan pusat Islam di sana.
Calon juga perlu melibatkan diri dengan ahli komuniti yang cukup luas serta perlu memberi penekanan kepada belia Islam dan orang Islam yang berada di sana disamping menjadi imam di masjid berkenaan.
LMS turut memaklumkan yang imam berkenaan perlu mewakili pihak LMS dan masyarakat Islam dalam mesyuarat dan acara rasmi berkaitan serta di media-media.
Bukan itu sahaja, anda mestilah mempunyai kelayakan Ijazah dalam Pembelajaran Islam, seorang yang Hafiz al-Quran, boleh berbahasa Inggeris dan Arab dan mempunyai ilmu hadis yang mendalam.
Difahamkan Masjid Al-Rahma ini terletak di Hatherley Street, Liverpool dan mampu memuatkan seramai 2,500 jemaah. Jika dilihat media sosial masjid tersebut, mereka sangat aktif dalam mengadakan aktiviti komuniti bersama masyarakat setempat.
Sementara di Malaysia secara khusunya di Selangor, Kerajaan negeri juga berusaha menaikkan gaji sehingga paras gaji minimum buat para imam dan pengawai masjid di negeri itu.