Sekali pandang, reka bentuknya mungkin mengingatkan ramai kepada restoran terkenal milik Khairul Aming. Namun hakikatnya, inilah Masjid Damansara Perdana, atau lebih dikenali sebagai Masjid Konkrit — sebuah masjid yang cukup unik dengan konsep seni bina ‘industrial’ yang jarang dilihat di Malaysia.

Apa yang membezakan masjid ini adalah reka bentuknya yang terbuka, dengan kira-kira 88.9 peratus struktur tidak berdinding. Ia memberikan pengudaraan semula jadi yang sangat baik, sekali gus mewujudkan suasana sejuk dan selesa walaupun tanpa penggunaan penghawa dingin.

Berbeza dengan kebanyakan masjid yang menampilkan kubah tradisional, Masjid Damansara Perdana menggabungkan elemen rumah tradisional Melayu bersama sentuhan industrial moden. Hasilnya adalah satu reka bentuk yang futuristik, estetik dan sangat ‘Instagrammable’, menjadikannya antara lokasi pilihan bagi aktiviti ‘masjid hopping’, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Kemudahan yang disediakan juga cukup mesra jemaah. Antara yang menarik adalah penggunaan eskalator untuk memudahkan warga emas dan jemaah naik ke ruang solat utama. Selain itu, kemudahan asas seperti tandas dan tempat wuduk turut dijaga dengan baik dan berada dalam keadaan bersih.

Sepanjang 10 malam terakhir Ramadan, masjid ini menjadi tumpuan untuk aktiviti berbuka puasa. Pengalaman iftar di sini cukup berbeza apabila makanan disajikan dalam talam, dengan satu hidangan dikongsi oleh empat orang. Tradisi ini bukan sahaja memudahkan, malah menggalakkan interaksi dan mengeratkan silaturrahim sesama jemaah.

Menariknya, bagi mereka yang datang bersendirian, tidak perlu berasa kekok kerana budaya di sini menggalakkan jemaah untuk makan bersama. Namun, susunan tetap dijaga dengan lelaki dan wanita berbuka secara berasingan.

Konsep makan dalam talam ini juga selari dengan sunnah, di mana perkongsian makanan menjadi salah satu cara untuk memupuk ukhuwah dalam kalangan umat Islam.

@vocket

Pengalaman kami berbuka puasa di sini sangat menarik. Ini satu-satunya masjid di Malaysia berkonsep ‘industrial design’ yang mana seni binanya 88.9 peratus tidak berdinding. #masjidhunting #masjidhopping #ramadan #masjiddamansaraperdana #Vocket

♬ original sound – vocket – vocket

Dari segi ibadah pula, solat terawih dilaksanakan sebanyak 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat witir, dan biasanya selesai sekitar jam 10.30 malam. Bacaan imam yang merdu turut menambah kekhusyukan sepanjang ibadah.

Secara keseluruhannya, Masjid Damansara Perdana bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga sebuah ruang komuniti yang menggabungkan seni bina moden dengan nilai tradisi Islam. Ia membuktikan bahawa masjid juga boleh menjadi ruang yang relevan dan dekat dengan gaya hidup generasi masa kini tanpa mengabaikan fungsi utamanya.