Trend ‘Masjid Hopping’ kini semakin menjadi fenomena dalam kalangan jemaah muda yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa dan suasana tarawih yang berbeza di pelbagai masjid ikonik sepanjang Ramadan.

Setiap masjid sentiasa cuba yang terbaik untuk menyediakan pengalaman yang baik dan selesa buat para jemaah yang hadir.

Seorang wakil Pihak Pengurusan dan Ahli Lembaga Tadbir Masjid Damansara Perdana tampil kongsikan beberapa perkara yang para jemaah boleh bantu untuk memastikan kelancaran majlis berbuka puasa yang diadakan di situ.

Menerusi hantaran Threads @h_bakkaniy, ada beberapa perkara yang perlu disampaikan kepada jemaah yang bakal datang ke masjid tersebut.

“Mewakili Pihak Pengurusan dan Ahli Lembaga Tadbir Masjid Damansara Perdana, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang yang telah berinfaq demi kelangsungan program Ihya’ Ramadan di masjid kita, semoga Allah memberi sebaik-baik balasan.

“Juga kami mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu mulia ke masjid kita ini.

“Setelah berlalu separuh Ramadan, ada beberapa hal yang pada hemat saya perlu disampaikan demi memudahkan juga urusan para petugas serta memastikan kelancaran program Ihya’ Ramadan, terutamanya sewaktu berbuka puasa,” kata beliau.

Masjid Ini 'Minta Tolong' 5 Perkara Demi Keselesaan Jemaah Buka Puasa
Sumber Gambar: Threads @h_bakkaniy

1. Dinasihatkan datang awal untuk berbuka puasa

Tuan-puan para tetamu dinasihatkan agar datang awal untuk berbuka puasa, dan terus ambil tempat duduk bagi melancarkan proses agihan makanan.

Susunan tempat duduk seperti berikut;

Bahagian Kanan Masjid: Muslimin
Bahagian Kiri Masjid: Muslimat
Bahagian Tengah/Hadapan Masjid: Berkeluarga

Sementara untuk pasangan yang datang berdua sahaja diminta agar duduk secara terpisah mengikut jantina.

Kami memperuntukkan 1 talam hidangan untuk 4 orang makan. Carilah kawan, duduk sekali cukup 4 orang, petugas akan hidangkan makanan. Inilah masa bertegur sapa sesama saudara seIslam lain dan berkenal-kenalan.

2. Bantu sambut talam dari petugas

Sesetengah petugas mengalami sedikit kesukaran untuk kerap membongkok semasa menghidang justeru diharapkan tuan-puan bersedia menyambut hidangan dari petugas.

3. Boleh tambah lauk sekiranya ada lebihan

Sekiranya ada lauk tambah berlebihan yang mencukupi untuk menambah, kami akan maklumkan dan tiada halangan untuk menambah.

Namun berilah juga sedikit masa untuk petugas dapur juga berbuka puasa sekurang-kurangnya dahulu.

Masjid Ini 'Minta Tolong' 5 Perkara Demi Keselesaan Jemaah Buka Puasa
Sumber Gambar: Facebook Masjid Damansara Perdana
4. Sertai solat jemaah

Alang-alang berada di rumah Allah, rugilah jika sekadar datang makan sahaja. Selesai solat, urusan lain boleh disambung kembali.

5. Bantu susun atur talam selepas berbuka puasa

Bantu kami menyusun atur talam untuk kerja pembersihan dengan teratur, dan elakkan membuang sisa makanan merata-rata kerana ini akan merosakkan suasana kebersihan Masjid kita.

“Untuk pengetahuan semua, setiap hari setakat ini pihak Masjid dapat memperuntukkan makanan berbuka untuk kira-kira 650 -700 hadirin dan kami berusaha semampu boleh agar semua hadirin dapat makan, oleh itu, bantulah kami juga.

Sekian dimaklumkan, semoga baki Ramadan mendatang ini kita lebih bersemangat untuk mengimarahkan Masjid kita dan semoga Allah kurniakan kita keberkatan Malam Al Qadar, Rahmat dan Pengampunan-Nya. Terima kasih,” kongsi beliau.