Baru-baru ini tular satu hantaran Facebook mengenai seorang individu mendakwa dirinya tidak mendapat gaji atau elaun yang setimpal sebagai seorang imam di sebuah masjid di Negeri Sembilan.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengakui bahawa semua Imam Rawatib (Imam 1 dan 2) masjid seluruh negara, menerima bayaran elaun bulanan sebanyak RM850 sebulan. Bayaran tersebut dilunaskan kepada semua imam berkenaan oleh Kerajaan Persekutuan melalui badan agama itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut memberi saranan Masjid kariah berkapasiti besar dan mempunyai nilai sumbangan yang tinggi di Malaysia mewujudkan jawatan imam secara tetap (tidak berpencen) atau kontrak, petik Berita Harian.

“Masjid kariah wajar melantik jawatan imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid termasuk bilal dan siak secara tetap dan bertugas sepenuh masa bermula masuk waktu solat Subuh hingga tugas mereka tamat.

“Bagi perlantikan itu, selain menggunakan sumber pendapatan masjid itu sendiri, pihak masjid boleh mencari sumber kewangan atau bantuan daripada pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis atau jabatan agama negeri masing-masing.

“Pada masa sama, imam atau AJK yang dilantik itu dapat menumpukan tugas sepenuh masa mengikut tempoh yang ditetapkan di masjid berkenaan,” katanya kepada BH.

Nooh berkata, apabila perkara berkenaan dapat dilaksanakan, secara tidak langsung masjid di negara ini dapat diimarahkan dengan pelbagai aktiviti agama seperti bacaan al-Quran, zikir, solat sunat dan pelbagai aktiviti sampingan.

“Sekiranya pihak masjid dapat mewujudkan jawatan itu, ia akan menyelesaikan isu gaji minimum RM1,500 yang berlaku dalam kalangan imam atau jawatan lain di masjid.

“Apabila sesebuah masjid mempunyai satu pasukan pentadbiran yang baik daripada segi pengurusan dan penganjuran aktiviti berfaedah, secara tidak langsung akan menarik minat masyarakat Islam untuk selalu hadir dan mengimarahkan masjid,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak tidak seharusnya membebankan tugas imam atau jawatan lain di masjid dengan elaun atau gaji tidak setimpal dengan keperluan kehidupan ketika ini.

Dalam pada itu, Aktivis masyarakat, Mohd Fadli Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli Salleh mengesyorkan  Kerajaan atau pihak berkuasa agama perlu menyelaraskan atau mewujudkan skim gaji khusus kepada imam, bilal dan siak di seluruh negara bagi menyanjungi kedudukan golongan berkenaan.

“Slip gaji yang diperakui juga perlu diberi kepada imam, bilal dan siak supaya golongan berkenaan dapat menguruskan kehidupan mereka seperti membuat pinjaman pembelian rumah, kereta dan lain-lain.

“Skim gaji khusus berkenaan juga boleh dibayar terus oleh Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Fahdli berkata, sebagai contoh gaji imam boleh diberi sebanyak RM2,000, elaun pelbagai RM500, kenaikan tahunan RM100 setahun, manakala elaun tambahan minimum RM100 dan maksimum RM500 serta ia diperkira melalui tabung masjid.