Hubungan Kylian Mbappe dan Paris Saint-Germain (PSG) yang berpisah selepas bersama sejak tujuh tahun lalu kini berada dalam keadaan kurang baik pada ketika ini.

Hal ini kerana kelab gergasi Perancis itu masih belum membayar tunggakan gaji beliau dan Mbappe berkeras menuntut haknya.

Baca Juga:

Keengganan PSG untuk membayar tunggakan gaji itu sudah pastinya berpunca daripada pemergian secara percuma Mbappe ke Real Madrid yang secara rasmi disahkan pada 3 Jun lalu.

Mbappe dikatakan menghubungi semula PSG untuk menuntut pembayaran gaji dan bonus yang belum dibayar sejak Februari, dengan jumlah keseluruhan kira-kira €100 juta (£84 juta), menurut sumber laporan Goal.

PSG dipercayai telah menghentikan semua pembayaran kepada Mbappe pada Februari selepas beliau memberitahu presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi, mengenai niatnya untuk meninggalkan kelab.

Juara Ligue 1 itu percaya mereka telah mencapai persetujuan bersama dengan Mbappe pada musim panas lepas untuk mengurangkan sebahagian pembayaran gaji.

Mereka juga mahu beliau mengembalikan bonus kesetiaan bernilai €80 juta (£67 juta) yang diterimanya pada Oktober.

Selain itu, PSG turut percaya Real Madrid akan membayar bonus kesetiaan itu tetapi Los Blancos tidak mengetahui situasi ini dan tidak berniat untuk membayarnya.

Beliau kini bersama skuad kebangsaan Perancis di Euro 2024 dan kemudiannya akan memfokuskan perhatiannya semula dalam saingan domestik dan musim baharu bersama Real Madrid.

Sementara itu, PSG pula terus mencari pengganti dan dikaitkan dengan dua bintang Napoli iaitu Victor Osimhen dan Khvicha Kvaratskhelia.

Sumber