Sejak berlakunya perang dagangan antara AS dan China, kelihatannya banyak impak negatif yang menimpa terhadap syarikat-syarikat gergasi di luar sana.
Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin meruncing, gergasi industri makanan segera, McDonald’s, meluahkan kebimbangan serius terhadap impak dasar tarif Presiden Donald Trump yang sentiasa berubah-ubah.
Ini sebabnya

Ketidakpastian tersebut bukan sahaja melemahkan prestasi jualan dan keuntungan, malah turut menggugat sentimen pengguna dan menambah tekanan kepada ekonomi negara yang mula menunjukkan tanda-tanda kelembapan.
Namun, langkah tersebut masih belum cukup untuk membendung aliran pengguna yang mula mengelak daripada makan di luar disebabkan kebimbangan ekonomi yang semakin meningkat.
McDonald’s, rangkaian makanan segera terbesar di dunia, melaporkan penurunan jualan domestik sebanyak 3.6% pada suku pertama 2025.
Ini merupakan kemerosotan suku tahunan terbesar sejak pandemik Covid-19 melumpuhkan sektor peruncitan pada tahun 2020. Penurunan tersebut disebabkan oleh pengurangan jumlah pelanggan yang kini lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang mereka.

“Para pengguna kini sedang bergelut dengan ketidakpastian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski, dipetik daripada laporan The Guardian, Jumaat (2 Mei 2025).
Beliau menggambarkan keadaan pasaran pada masa ini sebagai “yang paling sukar” yang pernah dihadapi syarikat itu, sambil menyatakan bahawa jualan global mereka juga menurun sebanyak 1% secara mengejutkan dalam tempoh yang sama.
Bagi menangani trend ini, McDonald’s sedang berusaha untuk meningkatkan pembelian melalui pelancaran menu “nilai” baharu yang direka agar lebih mampu milik.
Syarikat-syarikat lain dalam bidang makanan dan minuman seperti Starbucks, Domino’s Pizza, dan Chipotle Mexican Grill juga mula merasai impaknya. Mereka melaporkan bahawa pengguna AS mula mengurangkan kekerapan makan di luar.
Sementara itu, ekonomi AS mengalami penguncupan sebanyak 0.3% pada suku pertama 2025, satu pembalikan ketara daripada pertumbuhan 2.4% pada suku sebelumnya dan menandakan penyusutan pertama sejak awal tahun 2022.
Indeks sentimen pengguna AS juga menjunam sebanyak 32% antara Januari hingga April—penurunan mendadak yang membawa indeks ke titik terendah sejak kemelesetan tahun 1990.
Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kebimbangan terhadap kemungkinan perang perdagangan global selepas pengumuman tarif baharu Trump.