Setiap kali berlaku peperangan antara Palestin dan negara haram Israel, pasti entiti perniagaan McDonald’s di Malaysia menjadi sasaran utama netizen mengenai soal pembayaran royalti terhadap ibu pejabat McDonald’s.
Sehubungan dengan itu, McDonald’s Malaysia tampil berkongsi penjelasan mengenai pembayaran royalti dan pendirian mereka terhadap konflik Palestin-Israel.
Baca Juga:
- McDonald’s Malaysia Sumbang RM1 Juta Kepada Dana Kemanusiaan Palestin
- Dimiliki 100 Peratus Entiti Muslim, McDonald’s Malaysia Tampil Jawab Persoalan Netizen
McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan perkara yang sering menjadi tanda tanya tentang isu hubungan kami berkaitan dengan Palestin.
Dapatkan maklumat anda dari sumber yang sah. Tidak pasti, jangan kongsi! pic.twitter.com/24mFF0mOnp
— McDonald's Malaysia (@McDMalaysia) October 25, 2023
McDonald’s Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa pemilik perniagaan itu (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) merupakan sebuah syarikat operasi tempatan. Perniagaan itu dimiliki 100 peratus milik orang Islam sejak diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada tahun 2017 lalu.
Bagi isu pembayaran royalti yang sering dipersoalkan netizen, McDonald’s Malaysia menerangkan pembayaran royalti adalah semata-mata bertujuan untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan sistem perniagaan McDonald’s sahaja. Ini supaya pelanggan dapat pengalaman yang sama apabila berada di mana-mana restoran McDonald’s sama ada di Malaysia atau luar negara.
McDonald’s Malaysia menjawab persoalan netizen di mana McDonald’s Corporation tidak boleh membiayai atau terlibat di dalam sebarang bentuk keganasan dan penindasan di mana-mana negara sekali pun.
Ini kerana syarikat yang tersenarai di bursa saham, wang perbelanjaan McDonald’s Corporation adalah tertakluk kepada undang-undang, kod etika perniagaan, sistem tadbir urus dan pengauditan yang sangat ketat dan telus.
Dalam pada itu, netizen juga mempertikaikan kenapa McDonald’s Malaysia tidak menunjukkan pendirian terhadap konflik Palestin-Israel seperti mana dilakukan McDonald’s dari beberapa negara lain.
“McDonald’s Malaysia amat prihatin dan peka dengan krisis kemanusiaan yang akan berlaku setiap kali tercetusnya konflik di antara kedua-dua pihak berkenaan.
“Kami telah dan akan terus menyokong usaha Kerajaan Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang terkesan,” jawab McDonald’s Malaysia terhadap persoalan netizen tersebut.
Terdahulu pada pertengahan Oktober lalu, McDonald’s Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat tersebut dikawal selia oleh 100 peratus entiti Muslim. Selang beberapa hari kemudian, syarikat itu mengumumkan sumbangan RM1 juta untuk dana kemanusiaan Palestin.