Tular sejak semalam apabila terdapat sebuah media akhbar tempatan melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan. Walau bagaimanapun, laporan tersebut telah ditarik balik.

Terbaru, media dari Singapura melaporkan Datuk Seri Najib Razak yang disabit kesalahan tuduhan rasuah telah menerima pengurangan tempoh hukuman penjara kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Media Singapura itu melaporkan, keputusan lembaga pengampunan itu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong juga termasuk pengurangan denda RM210 juta kepada jumlah yang tidak ditentukan, menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat.

Pengampunan separa diraja atas pembabitannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibuat selepas menjalani hukuman penjara kurang dua tahun. Pengurangan tempoh hukuman itu bermakna, Najib dijangka menyelesaikan hukumannya pada Ogos 2028.

Walau bagaimanapun dengan parol untuk berkelakuan baik, beliau boleh dibebaskan pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara baharu.

Dalam pada itu, terdapat spekulasi hangat mengenai pengampunan itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semalam mengesahkan ahli lembaga termasuk beliau sendiri bermesyuarat pada Isnin.

Beliau berkata, pengumuman rasmi oleh Lembaga Pengampunan akan dibuat.

Mesyuarat itu adalah mesyuarat rasmi terakhir Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum pemerintahan baginda berakhir semalam dan menyerahkan pemerintahan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di bawah sistem penggiliran.

CNA sedang menghubungi pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan ulasan. Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau masih belum dimaklumkan mengenai sebarang keputusan oleh Lembaga Pengampunan.

Sumber