Baru-baru ini, satu posting viral di Threads oleh seorang netizen menarik perhatian ramai dengan tajuk yang agak menyeramkan – “Iblis, syaitan dan sekutunya bina HQ di tengah laut.”

Menurut posting tersebut, terdapat kepercayaan lama bahawa lautan adalah kawasan yang “jauh dari bunyi-bunyi ayat-ayat Quran dan azan,” menjadikannya tempat di mana makhluk ghaib seperti jin dan syaitan berkumpul dan menjadikannya sebagai markas besar.

Menurut kepercayaan ini, manusia katanya diharus untuk berhati-hati dan jangan terlalu suka ambil apa-apa barang dari pantai atau laut kerana ada kemungkinan benda tersebut telah “terkena” dan membawa bersama makhluk ghaib ke rumah.

Ada juga yang percaya laut adalah tempat paling berbahaya untuk manusia kerana kewujudan makhluk halus yang sukar dilihat.

Seorang pengguna Threads, turut berkongsi pengalamannya di bahagian komen. Beliau menceritakan bagaimana sihir atau gangguan makhluk halus boleh hilang apabila seseorang melintasi laut.

Katanya, terdapat kes di mana seseorang yang terkena gangguan jin atau sihir di Malaysia, apabila mereka melancong ke luar negara dan melintasi laut, gangguan tersebut hilang.

Dalam satu contoh, netizen berkongsi cerita tentang rakannya yang mengalami gangguan sihir di Malaysia, tetapi apabila rakannya itu melancong ke Mesir, gangguan tersebut serta-merta hilang.

Menurut beliau, ini kerana laut adalah “sempadan” antara alam kita dan alam ghaib, di mana segala gangguan yang dibawa akan “tertumpah” di lautan, seolah-olah jin atau makhluk ghaib “tercicir” di sepanjang perjalanan.

Kebanyakan netizen membanjiri ruang komen dengan pelbagai perkongsian dan persoalan, cerita ini tular sehingga menebar ke Twitter dengan netizen di sana memberi pandangan mereka.

Seorang netizen dikenali sebagai @yazid_hamka_, seorang penulis dengan latar belakang Quran Sunnah berkata bahawa benar HQ syaitan ada di tengah laut sambil merujuk Sahih Muslim 2813, Musnad Ahmad, di mana Nabi Muhammad berkata, “Singgahsana Iblis di laut, dia mengutuskan tenteranya setiap hari untuk membuat kekacauan terhadap manusia.”

Saka, gangguan jin, dan sihir merupakan antara topik mistik yang sering kali menjadi buah mulut masyarakat Malaysia.

Dalam konteks ini, laut dikaitkan dengan unsur-unsur ghaib yang tidak akan dapat dijelaskan dengan sains moden.