Kerajaan Negeri Melaka terus mengukuhkan kedudukannya dalam agenda pendigitalan negara apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan konsep ‘Tiang Fiber Guna Sama’.
Inisiatif perintis yang diterajui oleh Koridor Utiliti Melaka Sdn. Bhd. (KUM) ini dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Taman Perling Impian, Simpang Ampat.
“Inisiatif ini melakar satu lagi sejarah apabila Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan konsep Tiang Fiber Guna Sama, iaitu pendekatan baharu pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang lebih tersusun, cekap dan mampan.
“Menerusi kerjasama empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, rangkaian fiber akan ditempatkan pada satu tiang yang sama.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan ruang, malah mengurangkan pertindihan infrastruktur serta mempercepatkan peluasan capaian internet berkualiti kepada rakyat,” petik kenyataan Facebook beliau.

Menurutnya lagi, pemilihan Taman Perling Impian sebagai lokasi perintis menandakan permulaan fasa baharu transformasi digital negeri.
Fasa pertama projek di kawasan ini dijadualkan siap pada penghujung Ogos 2026 dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku keempat tahun yang sama.
Apabila beroperasi kelak, kemudahan ini bakal memberikan manfaat secara langsung kepada 315 premis kediaman yang melibatkan kira-kira 1,260 orang penduduk.

“Lebih membanggakan, Koridor Utiliti Melaka Sdn. Bhd. menyasarkan pembinaan 1,000 Tiang Fiber Guna Sama di seluruh negeri yang bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 premis kediaman dan sekitar 20,000 penduduk.
“Inilah komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan Melaka terus mendahului agenda pendigitalan, membina infrastruktur masa depan dan menyediakan kemudahan terbaik demi kesejahteraan rakyat,” kata Ab Rauf.