Bekas ibu pejabat Malayan Banking Bhd (Maybank), Menara Tun Perak, dijangka mampu mencecah nilai jualan melebihi RM500 juta menerusi potensi pertukaran hak milik, menurut sumber industri.
Unjuran nilai tersebut disokong oleh kedudukan strategiknya di pusat bandar raya, pegangan tanah yang luas serta potensi pembangunan semula yang tinggi, petik New Straits Times.
Menara ikonik setinggi 55 tingkat yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Maybank itu merekodkan nilai buku sebanyak RM65.87 juta dalam laporan tahunan Maybank bagi tahun 2025.
Bagaimanapun, pemerhati industri berpendapat nilai pasarannya jauh lebih tinggi berdasarkan nilai tanah serta peluang penjenamaan semula aset berkenaan.
“Saiz hartanah yang besar, lokasi strategik dan potensi pembangunan semula boleh menjadikannya bernilai jauh lebih tinggi kepada pembeli yang tepat,” kata satu sumber industri.
Siap dibina pada tahun 1988 dengan ketinggian 244 meter, Menara Tun Perak mempunyai keluasan boleh sewa bersih (NLA) kira-kira 1.09 juta kaki persegi dan keluasan lantai kasar (GFA) sekitar 2.33 juta kaki persegi.
Sebelum ini, bangunan tersebut diduduki sepenuhnya oleh Maybank sebagai ibu pejabat korporat berbanding beroperasi sebagai menara pejabat pelaburan berbilang penyewa. Susulan perpindahan ibu pejabat Maybank ke Menara Merdeka Maybank, hartanah tersebut kini sedia untuk dijual secara milikan kosong.