Walaupun kebanyakkan orang tidak kisah dengan melihat angka 4 digantikan dengan sesuatu yang lain, kini ada  individu yang meluahkan rasa tidak selesa mengenainya menerusi satu hantaran Facebook baru-baru ini.

Di dalam hantaran tersebut, individu yang dikenali sebagai Abang Tanjak atau namanya Taqiuddin Tabarani menyuarakan bahawa dengan berbuat sedemikian akan mengelirukan pelajar sekolah yang sering bergelut untuk membezakan antara keduanya kerana mereka telah diajar bahawa ‘4’ adalah ‘4’ dan bukannya ‘3A’.

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB @Taquiddin Tabarani

Untuk menyokong hujahnya, Taquiddin berkata bahawa beliau pernah menghadapi situasi tersebut beberapa kali, dan paling terbaharu adalah dengan pelajar Darjah 1 yang menaiki lif untuk pulang ke unit rumahnya sendiri.

“Dia menghadapi masalah mencari tingkat 24 kerana butang lif melabelkannya sebagai 23A. Saya kemudian memberitahunya untuk hanya menekan 23A kerana ia sama dengan 24.

“Nampak tak? Kekeliruan ini benar-benar menjengkelkan. Kadang-kadang, ada pak cik cuba tekan nombor tapi tak jumpa sebab sistem kita biasa 4 dan bukan 3A.

“Lagipun mana ada dalam pengenalan nombor di dunia ini ada 3A gantikan 4,” katanya secara lanjut di dalam hantaran.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan bahawa dalam penulisan kaligrafi kaum Cina pun tiada gantian untuk 3A ini. Jadi, beliau merasakan perkara ini mengarut sekaligus perlu dihentikan.

Hantaran yang dibuat oleh Taquiddin sememangnya menjadi perbualan hangat ketika kini media sosial. Bagaimanapun, majoritinya bersetuju dengan luahan yang dibuat oleh beliau dan menggesa nombor 4 untuk dikembalikan.

“Setuju. Mengarut sangat. Kepercayaan bangsa depa (cina) tak perlu bawa dalam kehidupan seharian bangsa lain,” luah seorang pengguna di FB.

“Mengelirukan. Negara maju pun tak macam ini,” kata seorang netizen berhubung isu tersebut.

“Memang menyusahkan pun. Senang tersilap. Haritu barang pos orang bernilai lebih RM1,000 tersilap pos ke rumah lain. Dah jadi kecoh satu bangunan kes tuduh curi,” kongsi seorang pengguna lain yang mengalami pengalaman negatif dengan penggunaan 3A.

Untuk mereka yang tidak tahu, dalam bahasa Mandarin, nombor 4 diucapkan sebagai “si,” yang bersama bunyinya dengan perkataan untuk kematian, “死” (si). Disebabkan oleh hubungannya dengan kematian, nombor 4 sering dielakkan oleh kaum Cina di dalam pelbagai perihal seharian seperti nombor plat, tingkat atau alamat.

Pada pandangan anda, adakah penggunaan angka 3A perlu dihentikan bagi mengelakkan kekeliruan yang dihadapi oleh orang ramai di dalam kehidupan seharian?