Sepanjang tahun 2024 kita banyak mendengar pelbagai pencapaian hebat atlet Malaysia dalam menghadapi satu-satu pertandingan baik di peringkat Asia atau Dunia.

Daripada Sukan Olimpik hingga ke kejohanan antarabangsa yang lain, atlet negara telah memperlihatkan prestasi cemerlang dimana bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.

Baca Juga:

Dalam artikel ini, The Vocket akan mengimbas beberapa kejayaan terbesar di peringkat dunia yang dicapai oleh atlet Malaysia sepanjang tahun 2024.

Dalam masa yang sama, ia dapat mengenang perjalanan dan dedikasi mereka dalam mencapai puncak kejayaan di arena global.

1) Piala Dunia Sepak Takraw

Beraksi dihadapan ribuan penyokong sendiri yang membanjiri Stadium Titiwangsa, barisan pemain negara beraksi cukup cemerlang untuk menjuarai acara regu dan beregu.

Pesta skuad negara pada 22 Mei itu bermula dengan kejayaan Muhammad Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi yang menewaskan pasangan Thailand Seksan Tubtong serta Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 dalam acara regu.

Kejayaan manis itu berterusan apabila Syahir Rosdi dan Haziq Hairul Nizam (Tekong), Azlan Alias (Perejam) serta Farhan Adam (Pengumpan) pula menewaskan trio berpengalaman Thailand, Sittipong Khamchan, Siriwat Sakha (Tekong), Varayut Jantarasena (Perejam) dan Poramet Siriswat (Pengumpan) juga dengan ‘straight set’ 15-8, 15-12.

Thailand bagaimanapun menebus kehampaan dalam acara berpasukan dengan menang 2-1.

2) Sukan Paralimpik

Kem Paralimpik Malaysia pulang ke tanah air dari kota Paris dengan membawa dua pingat emas menerusi Cheah Like Hou bagi acara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan acara powerlifting kategori 72kg menerusi Bonnie Bunyau Gustin.

Bonnie turut mencuri tumpuan dengan kejayaannya memecahkan rekod dunia peribadi miliknya dengan angkatan 232kg.

Datuk Abdul Latif Romly meraih pingat perak acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Satu gangsa dihadiahkan oleh Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

3) Pencak Silat Dunia

Kejohanan yang berakhir pada 22 Disember lalu menyaksikan skuad senior negara membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.

Pingat emas negara disumbangkan oleh Siti Shazwana Ajak ( Kategori Putri D), Thamaraj A/L Vasudevan (Bebas Putra), Abdul Latif Maxzakir (Putra H), Nor Farah Mazlan (Putri A) dan pasangan kembar dalam acara Ganda Putra iaitu Muhammad Danial Azrol Noorazizan serta Muhammad Danial Azray Noorazizan.

Sementara itu, pesilat remaja turut cemerlang dengan lima pingat emas, empat perak dan empat gangsa.

4) Piala Dunia 2024 FIFAe (eFootball Mobile)

Malaysia yang diwakili Ahmad Muhaimin atau lebih dikenali dengan panggilan Minbappe berjaya menumpaskan Maghribi (AN10_Tienes) dengan keputusan 3-0 dan 2-0 untuk membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM80,000.

5) Kejohanan Dunia IESF

Pasukan pasukan e-sukan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) Malaysia dibarisi Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz) itu berjaya menumpaskan Filipina pada aksi final dengan kemenangan 2-0.

Kejayaan yang dilakarkan pada 15 November lalu itu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah bernilai US$70,000 (RM313,180).

6) Piala Dunia Woodball

Sejarah dicipta oleh Nor Rinda Ramli apabila muncul juara dunia kategori fairway wanita pada kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Shaoxing, China pada Oktober lalu.

Walaupun Woodball tidaklah popular di tanah air tetapi kejayaan muncul juara dunia ini tetap merupakan kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia.

7) Boling Padang Dalam Dewan

Nor Farah Ain Abdullah mengharumkan nama Malaysia pada 27 April lalu apabila muncul juara acara individu wanita pada aksi yang berlangsung di Channel Islands itu.

Pada perlawanan akhir, Farah yang berusia 23 tahun menewaskan wakil dari Malta, Connie Rixon dengan keputusan 6-2, 6-3.

Farah dan pemain ranking nombor satu dunia,  Izzat Shameer Dzulkeple meraih tempat ketiga dalam acara berpasangan campuran.

7) Skuasy Klasik London

S Sivasangari mencipta sensasi pada kejohanan berprestij itu apabila mengejutkan beberapa nama besar untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141).

Antara yang menjadi mangsa beliau ialah  pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir, nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis (separuh akhir) dan Hania El Hammamy (ranking kedua dunia) di pentas final.

Tak muncul juara tetapi cemerlang

1) Piala Dunia Hoki 5s

Kejohanan sulung yang diadakan di Muscat, Oman itu menyaksikan skuad negara tewas pada perlawanan akhir 2-5 ke atas Belanda.

Kekecewaan itu diubati sedikit dengan kejayaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan dan menjaringkan 11 gol.

2) Sukan Olimpik

Malaysia terus kebuntuan untuk menamatkan penantian panjang untuk mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik. Namun kem Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia meraih pingat gangsa.

Harapan 2025

Besar harapan untuk melihat atlet dan sukan Malaysia mencipta lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa pada tahun 2025.

Mungkin ada kejayaan lebih manis daripada atlet Malaysia daripada kaca mata anda pada 2024 yang tidak kami nyatakan di atas.

Kongsikan di ruangan komen!