Cadangan bagi mengembalikan perlumbaan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus mendapat sokongan padu daripada gergasi sukan permotoran dan industri teknologi global.
Pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (F1) meluahkan hasrat untuk kembali berlumba secara tetap di Malaysia.
Manakala syarikat teknologi pencahayaan dunia, Signify, menyatakan kesediaan mereka untuk menyediakan penyelesaian terbaik sekiranya penganjuran perlumbaan malam dimuktamadkan, petik Harian Metro.
Timbalan Prinsipal Pasukan Mercedes, Bradley Lord, menyifatkan Sepang sebagai lokasi khas bagi pasukan itu memandangkan sokongan padu peminat tempatan yang menjadikan suasana perlumbaan tidak ubah seperti di laman sendiri.
Mengimbau sambutan meriah semasa acara promosi di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain yang dianjurkan di Sepang baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa sokongan tersebut amat bermakna buat pasukan.
“Ya, semestinya. Saya tahu keputusan di Sepang tidak begitu memberangsangkan, tetapi kami melalui hujung minggu yang luar biasa,” katanya dalam satu taklimat media yang dianjurkan oleh Mercedes bersama rakan kongsi teknologi pencahayaannya, Signify, semasa GP Singapura baru-baru ini.
Dalam pada itu, sekiranya Malaysia berhasrat mengikut jejak langkah penganjuran perlumbaan pada waktu malam, syarikat pencahayaan terkemuka Signify memberi jaminan bahawa keupayaan teknologi tidak akan menjadi halangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Signify, As Tempelman, mengesahkan keupayaan syarikatnya untuk mereka bentuk dan melaksana sistem pencahayaan bertaraf dunia bagi Litar Sepang jika diberi peluang.
“Saya berani katakan bahawa teknologi tidak akan menjadi kekangan. Jadi, kita boleh mengatasinya? Sudah tentu, jika terdapat perlumbaan malam di Malaysia, saya yakin kita boleh mencari penyelesaiannya. Saya tidak meragui perkara itu,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Tempelman menjelaskan bahawa sebarang keputusan muktamad bergantung sepenuhnya kepada perancangan penganjur serta pihak berkuasa tempatan.
“Segala-galanya bermula dengan apa yang diinginkan oleh penganjur dan pihak berkuasa daripada acara tersebut. Saya rasa itulah langkah pertama perlu diambil sekiranya Malaysia benar-benar mahu menganjurkan perlumbaan malam. Namun, jika kita sampai ke tahap itu, kami akan memastikan penyelesaian yang tepat dapat dirancang dan dilaksanakan,” tambah beliau.
Perkembangan ini turut mendapat perhatian rakan strategik Signify, DZ Engineering. Pengurus Besarnya, Roberto Grilli, menyatakan minat untuk mengemukakan cadangan rasmi melibatkan teknologi Signify sekiranya Sepang bersedia menganjurkan perlumbaan malam.
Kerjasama antara DZ Engineering dan Signify telah terbukti menerusi kejayaan pencahayaan GP Singapura sejak 2008, GP Las Vegas, serta perlumbaan Formula E di Diriyah dan London. Penggunaan lampu limpah LED Philips ArenaVision oleh Signify di Litar Marina Bay Street pada tahun 2023 membuktikan kecekapan teknologi mereka apabila berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 30 peratus berbanding sistem metal-halide terdahulu.