Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) menggesa semua pihak menghalang proses penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian ke Myanmar kerana bimbang keselamatan mereka tidak dapat dijamin.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, keputusan menghantar pelarian Rohingya kembali ke Myanmar perlu dipertimbangkan dengan serius kerana keadaan di negara itu masih tidak selamat – seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurut beliau, kerajaan Myanmar tidak boleh dipercayai sepenuhnya untuk melindungi keselamatan komuniti Rohingya ketika isu keganasan dan konflik masih berterusan.

“Kerajaan Myanmar tidak boleh dipercayai untuk melindungi keselamatan kami apabila pembun*han masih lagi berlaku ketika ini.

“Jika dihantar pulang, kami akan dipaksa menyertai tentera kerahan tanpa latihan.

“Kami digunakan sebagai perisai manusia bagi pihak tentera Myanmar dalam perang mereka terhadap kumpulan etnik berbeza di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Zafar mendakwa perkara itu menjadi antara sebab utama kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula pelarian tersebut, namun beliau berpandangan kepulangan mereka berisiko membahayakan nyawa.

Beliau turut menggesa ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta masyarakat antarabangsa supaya tidak membenarkan proses penghantaran pulang dilakukan tanpa jaminan keselamatan yang kukuh.

“Kami berharap kerajaan Malaysia berbincang bersama UNHCR dan wakil komuniti Rohingya sebelum membahayakan nyawa 5,000 pelarian.

“Tidak mungkin kami boleh pulang dengan selamat apabila genosid ke atas kami masih berlaku, malah kes Rohingya di Mahkamah Antarabangsa (ICJ) masih berlangsung,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Myanmar dilaporkan bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu adalah langkah awal dalam menangani isu pelarian di Malaysia.

Bagaimanapun, isu tersebut mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi yang berpendapat sebarang penghantaran pulang perlu mengambil kira keadaan keselamatan, hak asasi manusia serta prinsip kepulangan secara selamat dan sukarela.

MERHROM menegaskan proses itu tidak seharusnya dilakukan tanpa penglibatan pihak berkaitan termasuk UNHCR dan wakil komuniti Rohingya bagi memastikan keselamatan mereka tidak terjejas.