Legenda hidup Argentina, Lionel Messi dilabel sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak moden.

Beraksi di pentas senior sejak berusia 17 tahun, Messi sudah menghadapi begitu ramai pemain dan pastinya perseteruan dengan Cristiano Ronaldo sentiasa menjadi perdebatan ramai.

Baca Juga:

Malah, pada ketika ini juga dua figura hebat bola sepak dunia itu turut dibanding-bandingkan meskipun kedua-duanya sudah melepasi zaman kemuncak masing-masing.

Dalam skuad Barcelona, Messi telah bermain bersama legenda-legenda seperti Carlos Puyol, Xavi, Deco, Gerard Pique, Andres Iniesta, Ronaldinho dan ramai lagi nama besar.

Beliau turut pernah membentuk gandingan mantap bersama Neymar serta Luis Suarez sebagai antara lipatan sejarah buat Barcelona sebelum memilih untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dan seterusnya ke Inter Miami.

Di sebalik pernah bermain bersama pemain-pemain handalan dunia itu sebagai rakan sepasukannya serta Ronaldo selaku musuhnya, Lionel Messi memilih individu lain sebagai pemain paling hebat pernah disaksikannya.

Menurut sumber laporan Sport Bible, Messi memilih ‘seniornya’ iaitu Ronaldo Luis Nazario de Lima atau lebih dikenali sebagai ‘Ronaldo 9′.

“Ronaldo Nazario adalah seorang fenomena. Antara semua penyerang yang pernah saya lihat, bagi saya dia adalah yang terbaik. Seorang pemain yang mengagumkan dari segala aspek.”

Walaupun Ronaldo pernah beraksi bersama Barcelona, tetapi Messi pada ketika itu berusia 10 tahun dan masih bersama Akademi Newell’s Old Boys.

Sumber