Bekas juara Piala Dunia, Mesut Ozil meluangkan masa untuk melawat kem pelarian Rohingya di Cox Bazar. Ozil turut meluangkan masanya untuk bermain bola sepak dengan pelarian Rohingnya di situ.

Selepas itu, Ozil berbuka puasa bersama sama dengan warga Rohingnya di kem tersebut.

Ozil merupakan salah seorang pegawai yang mewakili Presiden Turki, Recep Tayyib Edorgan. Delegasi tersebut diketuai oleh anak Edorgan sendiri iaitu Necmettin Bilal Edorgan.

Delegasi tersebut tiba terlebih dahulu di Kem Rohingya Balukhali No. 9, di mana mereka melawat Hospital Lapangan Turki (Field Hospital) dan meninjau perkhidmatan perubatan yang diberikan kepada pelarian Rohingya.

Selepas itu, mereka mengunjungi Pusat Pendidikan dan Kebudayaan yang dikendalikan oleh pertubuhan sukarelawan Turki, TIKA. Di sana, Mesut Ozil dan Necmettin Bilal Erdogan sempat bergambar bersama kanak-kanak Rohingya.

Pada sebelah petang di Kem Rohingya No. 4, Mesut Ozil turut menyertai perlawanan bola sepak amal bersama pelarian Rohingya. Orang ramai yang mengerumuni padang bersorak penuh teruja sebaik melihat kelibat Ozil, manakala pemain bola sepak Rohingya meluahkan kegembiraan dapat beraksi bersamanya.

Sepanjang lawatan itu, Necmettin Bilal Erdogan menyatakan bahawa Turki akan terus meneruskan usaha kemanusiaan supaya pelarian Rohingya akhirnya dapat kembali ke negara asal mereka dengan hak kewarganegaraan penuh.

Dia turut menggesa masyarakat antarabangsa agar tampil memberikan sokongan kepada komuniti Rohingya.

Pesuruhjaya Bantuan dan Pemulangan Pelarian, Mohammed Mizanur Rahman berkata, Turki telah menyalurkan bantuan kemanusiaan sejak awal krisis Rohingya tercetus.

Dia menegaskan bahawa kerajaan Bangladesh amat serius dalam usaha memulangkan pelarian Rohingya ke negara asal mereka dan perkara itu telah dimaklumkan kepada delegasi tersebut.

Bangladesh turut memohon bantuan Turki untuk membuka semula sekolah-sekolah bagi kanak-kanak Rohingya di kem yang sebelum ini ditutup. Bilal Erdogan memberi jaminan sokongan untuk menghidupkan kembali pusat-pusat pendidikan tersebut.

Pada sebelah pagi, Bilal Erdogan memberitahu wartawan di pejabat Pesuruhjaya bahawa komuniti Rohingya telah dinafikan pendidikan asas selama lebih empat dekad. Bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air suatu hari nanti dengan penuh maruah, adalah penting untuk melengkapkan mereka dengan pendidikan dan kemahiran teknikal dari sekarang. Dia menambah bahawa lawatan itu bertujuan meninjau sendiri keadaan sebenar di lapangan.

Menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan bantuan antarabangsa untuk krisis Rohingya, dia berkata tahap bantuan global telah merosot dengan ketara. Dia berharap kehadiran tokoh terkenal dunia seperti Mesut Ozil dapat menarik semula perhatian penderma antarabangsa dan negara-negara lain terhadap krisis kemanusiaan ini.

Mesut Ozil, bekas pemain Real Madrid dan Arsenal, merupakan sebahagian daripada skuad Jerman yang menjuarai FIFA World Cup 2014.

Dia bersara daripada bola sepak antarabangsa pada tahun 2018.