Badan penganjur liga bola sepak negara, Malaysian Football League (MFL) sebentar tadi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status tiga pemain warisan Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung isu hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Malaysian Football League (MFL) hari ini mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan penggantungan 7 pemain warisan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA).”

“Berdasarkan keputusan FIFA itu, MFL mengesahkan bahawa tiga pemain daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut terlibat iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia sepanjang
tempoh penggantungan.”

“Tindakan susulan bagi kes ini hanya akan dibuat MFL apabila keputusan rayuan FAMdiumumkan oleh FIFA selepas ini.”

Isu Pemain Warisan Kian Hangat

Pengumuman ini sekali gus memberi impak besar kepada persiapan JDT yang sedang beraksi dalam saingan domestik serta pentas Asia memandangkan ketiga-tiga pemain tersebut merupakan antara tonggak penting pasukan.

Kes ini turut menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan yang kini menantikan keputusan rayuan FAM di peringkat FIFA sama ada hukuman tersebut kekal atau diringankan.

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin juga difahamkan sudah berada di Zurich untuk mengemukan rayuan terhadap pertuduhan tersebut.

Seperti dilaporkan sebelum ini, FAM telah diarahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000 manakala pemain-pemain tersebut telah diarah membayar denda sebanyak CHF 2,000 kepada FIFA dan dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan keputusan itu.