Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerusi Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang berlaku hari ini berpunca daripada isu teknikal dan bukannya serangan siber.
Menurut makluman rasmi Microsoft Service Health Status, insiden tersebut disebabkan oleh ketidakseimbangan pengurusan trafik pada infrastruktur syarikat teknologi berkenaan. Pihak Microsoft turut mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan berlakunya ancaman atau serangan siber buat masa ini.
Gangguan berkenaan berpotensi menjejaskan pengguna di seluruh dunia termasuk di Malaysia, dengan perkhidmatan yang bergantung kepada Exchange Online (e-mel) dilaporkan paling teruk terkesan. Antara aplikasi dan platform lain yang turut mengalami gangguan ialah Outlook, fungsi jemputan dan kalendar Microsoft Teams, Microsoft 365 Copilot, Planner, Intune, Defender XDR serta portal pentadbir (admin portal).
Walau bagaimanapun, pihak Microsoft sedang giat menyemak aliran trafik serta menambah kapasiti bagi memulihkan sepenuhnya sistem yang terlibat, dengan perkhidmatan utama Microsoft Teams dan SharePoint dilaporkan telah berjaya dibaik pulih.
Menerusi hantaran Facebook Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) disarankan untuk menyemak status perkhidmatan masing-masing melalui portal rasmi status.cloud.microsoft, selain memastikan pemantauan keselamatan siber organisasi kekal berjalan lancar tanpa gangguan.
Dalam masa yang sama, NACSA bersama CyberSecurity Malaysia menasihatkan orang ramai serta pentadbir sistem agar bertenang, tidak menyebarkan spekulasi, dan sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan siber (phishing) yang sering mengambil kesempatan semasa krisis teknikal berlaku.
Pengguna diingatkan supaya tidak mendedahkan kata laluan atau menekan sebarang pautan mencurigakan yang menyamar sebagai sokongan teknikal atau pemulihan akaun Microsoft.
Bagi memastikan kelangsungan operasi, organisasi disyorkan untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi berikut:
1. Mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) organisasi.
2. Membuat salinan sandaran (backup) bagi fail-fail penting ke storan luar talian atau platform awan alternatif yang selamat.
3. Menggunakan platform mesyuarat alternatif yang sah, dilindungi kata laluan, dan tidak berkongsi pautan mesyuarat secara terbuka.
4. Sebarang gangguan yang menjejaskan operasi organisasi hendaklah dimaklumkan melalui saluran pelaporan sedia ada, manakala sebarang insiden keselamatan siber boleh dilaporkan terus kepada Pusat Bantuan Cyber999 di talian 1-300-88-2999 atau melalui e-mel ke [email protected].