Mikel Arteta tidak dapat menahan diri daripada mengkritik kualiti bola yang digunakan pada Piala Carabao musim ini.
Menurut Arteta, bola Puma yang digunakan dalam aksi Piala Carabao adalah berbeza dengan kualiti bola Nike yang digunakan dalam Liga Perdana Inggeris.
Arsenal menelan kekalahan pada pusingan pertama separuh akhir Piala Carabao menentang Newcastle. Di mana The Gunners tunduk 0-2 di tangan pelawat.
Masih ada satu lagi aksi timbal balik, di mana Arteta yakin pasukannya akan bangkit dan mara ke final.
Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Mikel Arteta kecewa melihat bola yang digunakan telah menjadi punca Arsenl gagal mendapat sebarang gol walaupun melakukan 23 percubaan dalam perlawanan ini.
Arteta menyedari bahawa banyak percubaan pemainnya melambung tinggi melepasi palang gol.
Arteta berkata: “Saya rasa kami banyak menyepak bola melepasi atas palang dan sukar untuk menggunakan bola ini yang kuat melambung tinggi. Kami ada membincangkannya juga, jadi sudah ada butiran yang boleh kami gunakan untuk memastikan kami lebih baik selepas ini.
“Ia memang berbeza, ia sangat berbeza dengan bola Liga Perdana Inggeris, dan anda perlu menyesuaikan diri dengan itu kerana ia melambung dalam keadaan berbeza. Apabila anda menyentuhnya, cengkaman bola itu juga sangat berbeza, jadi anda perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.”
Mungkin Mikel Arteta baru perasan tentang bola ini berbeza dengan bola EPL. Kerana sebelum ini Arsenal tidak ada masalah menggunakan bola ini dalam aksi Piala Carabao. Sebelum aksi separuh akhir ini, Arsenal menjadi antara pasukan paling efisien dengan bola ini.
Mereka mencetak 11 gol secara terkumpul ke atas 3 lawan mereka di pusingan awal dan suku akhir iaitu Bolton, Preston dan Crystal Palace – dengan menggunakan bola yang sama.
🗣️ Mikel Arteta on the ball used in the Carabao Cup: “It's just different, very different to a Premier League ball and you have to adapt to that because it flies differently…” ⚽️pic.twitter.com/NZLIVjdzLj
— DailyAFC (@DailyAFC) January 7, 2025
Arteta bagaimanapun akur bahawa pasukannya telah kalah dalam perlawanan kali ini. Apa yang boleh mereka lakukan adalah untuk mempersiapkan diri untuk aksi seterusnya.
Newcastle kini berpeluang untuk mara ke Wembley, dengan agregat 2-0 daripada aksi pertama mereka menentang Arsenal. Aksi timbal balik adalah di St James’ Park.
Dalam aksi di Emirates awal pagi tadi waktu Malaysia, Alexander Isak dan Anthony Gordon menjaringkan 2 gol untuk pelawat, memastikan Newcastle membawa bekalan dua gol untuk aksi kedua nanti.