Mikel Arteta mahu mengubah sejarah Arsenal dalam Liga Juara-Juara dengan menjuarai pertandingan itu buat pertama kali dalam sejarah kelab itu.
Arsenal merupakan juara Liga Perdana Inggeris 13 kali, dan deretan piala domestik yang lain di kabinet mereka, namun agak janggal apabila kelab segah Arsenal tidak pernah menjuarai UCL.
Arsenal hanya pernah mara ke final Liga Juara-Juara Eropah, iaitu pada 2006 apabila mereka tewas 2-1 kepada Barcelona.
The Gunners juga pernah mara ke tiga peringkat separuh akhir dalam 23 penyertaan mereka di pentas tertinggi Eropah, termasuk musim lalu apabila mereka tewas dengan agregat 3-1 kepada juara bertahan, Paris Saint-Germain musim lalu.
Musim ini, Arsenal dilihat sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah. Ini ditambah dengan kehadiran beberapa pemain baharu Arsenal yang memperkuatkan lagi skuad itu.
Arteta percaya tahun ini adalah peluang Arsenal untuk menambah nama mereka dalam senarai juara Eropah.
Apabila ditanya mengenai kegagalan Arsenal menjuarai Liga Juara-Juara, Arteta berkata: “Itu sendiri menunjukkan, dengan sejarah panjang kelab ini, betapa sukarnya untuk menang kerana kita belum pernah lakukannya, dan inilah peluangnya.
“Saya melihatnya sebagai tekanan yang menjadi satu peluang – ia memacu tenaga dan kemahuan untuk menjadi lebih baik setiap hari.
“Setiap keputusan mesti dibuat dengan standard itu dan dengan jangkaan itu. Jadi mari kita berikan peluang terbaik untuk cuba melakukannya.
“Kelab besar [yang sudah menjuarai] pun mencuba tujuh, lapan, sembilan kali, dan mungkin hanya menang dua kali.
“Jadi dalam kejohanan ini, lebih banyak kegagalan daripada kejayaan. Itulah sifatnya. Itulah sejarah kelab ini, dan itulah yang kami mahu ubah.”
Peminat Arsenal benar benar gembira melihat keyakinan Arteta. Dan mereka juga menyuarakan keyakinan yang sama.

Arsenal akan membuka kempen Liga Juara-Juara mereka di tempat lawan menentang Athletic Bilbao pada Selasa, pertemuan kompetitif pertama antara kedua-dua pasukan.
Pengurus Bilbao, Ernesto Valverde mengakui ancaman Arsenal dan menyifatkan pasukan dari utara London itu antara pencabar utama kejohanan.
“Arsenal benar-benar fokus pada perlawanan ini,” katanya.
“Mereka salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara kerana kualiti teknikal dan taktikal mereka, serta semangat juang yang ditanam oleh Arteta.
“Ia adalah permulaan Liga Juara-Juara, dan kami berdepan lawan berkelas tinggi, jenis lawan yang disukai Bilbao, tetapi kami perlu sangat berhati-hati dan memanfaatkan setiap peluang. Arsenal tidak akan memaafkan kesilapan.”