Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad, dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), melancarkan pelaksanaan Pembuktian Konsep (POC) Had Laju Nasihat Minimum bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Oktober 2026.

Projek rintis yang berlangsung selama tiga bulan ini bertujuan untuk menggalakkan pemandu memilih lorong yang sesuai dengan kelajuan kenderaan masing-masing, sekali gus menangani isu memonopoli lorong (lane hogging) di lebuh raya, petik Facebook MIROS.

Membanteras Isu ‘Lane Hogging’ dan Tingkat Keselamatan

Amalan memandu perlahan di lorong kanan kerap menyebabkan gangguan aliran trafik, mencetuskan kesesakan, serta memaksa pemandu lain membuat pemotongan secara berbahaya. Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko kemalangan.

Inisiatif POC ini dijangka mampu:

1. Mengurangkan perbezaan kelajuan (speed differential) antara kenderaan.

2. Melancarkan aliran pergerakan trafik.

3. Meningkatkan tahap keselamatan keseluruhan pengguna lebuh raya.

Lokasi Rintis Pelaksanaan

Pelaksanaan POC ini tertumpu di tiga (3) lokasi rintis lebuh raya utama:

1. Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) E1: KM400.1 hingga KM388.0 (Arah Utara, Tanjung Malim – Behrang)

2. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26: KM9.6 hingga KM16.7 (Plaza Tol Ayer Hitam – Bandar Saujana Putra)

3. Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) E2: KM267.8 hingga KM278.8 (Arah Utara, Bandar Ainsdale – Nilai)

Panduan Had Laju Nasihat Minimum Mengikut Lorong

Had laju nasihat ini ditetapkan mengikut bilangan lorong dan boleh dirujuk menerusi papan tanda khas yang dipasang di kawasan POC:

Berdasarkan penetapan Had Laju Nasihat Minimum, laluan dua lorong mencatatkan had laju 80 km/j di lorong kanan dan 60 km/j di lorong kiri.

Manakala laluan tiga lorong menetapkan 100 km/j di lorong kanan, 80 km/j di lorong tengah 1, dan 60 km/j di lorong kiri.

Bagi laluan empat lorong pula, had laju yang disyorkan ialah 100 km/j di lorong kanan, 80 km/j di lorong tengah 1, serta 60 km/j bagi kedua-dua lorong tengah 2 dan lorong kiri.

Garis Panduan Pelaksanaan: Panduan, Bukan Tindakan Penguatkuasaan

MIROS menegaskan bahawa Had Laju Nasihat Minimum ini bukan penentuan mandatori atau tindakan penguatkuasaan, sebaliknya bertindak sebagai panduan bagi pemandu.

Pemandu tidak perlu mengekalkan had laju tersebut sekiranya keadaan jalan raya atau trafik tidak selamat, termasuk dalam situasi berikut:

1. Kesesakan lalu lintas atau halangan di jalan raya.

2. Hujan lebat, cuaca buruk, atau jarak penglihatan terhad.

3. Berlaku kemalangan jalan raya.

4. Kerja-kerja penyelenggaraan atau penutupan lorong sedang dijalankan.

5. Arahan rasmi daripada pegawai penguat kuasa atau petugas lebuh raya.

“Dalam keadaan sedemikian, pemandu dinasihatkan untuk menyesuaikan kelajuan mengikut keadaan semasa, meningkatkan jarak selamat, dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Semua undang-undang sedia ada, termasuk had laju maksimum dan peraturan mengikut kelas kenderaan berat/perdagangan, kekal berkuat kuasa.

“Penilaian keberkesanan POC akan dilakukan berdasarkan cerapan data trafik serta tahap pemahaman pengguna melalui kaji selidik. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi www.miros.gov.my/HLNM,” kata MIROS.

Sumber