Bintang Liverpool, Mohamed Salah meluahkan rasa kekecewaan berikutan keengganan pengurusan tertinggi The Reds untuk menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Salah kini berada di tahun terakhir kontraknya bersama Liverpool dan tiada keputusan dibuat sama ada beliau akan melanjutkan kontraknya atau mencari cabaran baharu.

Baca Juga:

Pemain skuad antarabangsa Mesir ini telah memainkan peranan cukup penting buat Liverpool sejak menyertai kelab tersebut pada 22 Jun 2017.

Pencapaian menarik itu meletakkan beliau pada ketika ini di tempat kelima dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool dalam semua pertandingan.

Salah telah meledakkan 12 gol dan mencipta 10 bantuan jaringan dalam 18 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.

Malah, malam tadi beliau sekali lagi menjadi wira dalam membantu Liverpool menundukkan Southampton 3-2 untuk melebarkan kedudukan di tangga teratas English Premier League dengan lapan mata meninggalkan Manchester City.

Liverpool berdepan risiko kehilangan Salah sekiranya masih belum mencapai kata sepakat dalam mengekalkannya di Anfield.

“Kita sudah hampir masuk ke bulan Disember dan saya belum menerima sebarang tawaran untuk kekal di kelab ini,” ujar Salah menurut sumber laporan Goal.

“Saya berkemungkinan akan keluar berbanding berada di dalam (Liverpool). Anda tahu saya telah berada di kelab ini selama bertahun-tahun. Tiada kelab seperti ini. Tetapi akhirnya, ia bukan di tangan saya.”

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini Disember dan saya masih belum menerima apa-apa mengenai masa depan saya. Saya sayang peminat. Peminat sayang saya. Akhirnya, ia bukan di tangan saya atau tangan peminat. Mari kita tunggu dan lihat.”

“Sudah tentu, [saya kecewa] ya. Saya tidak akan bersara dalam masa terdekat, jadi saya hanya ingin bermain, memberi tumpuan pada musim ini dan saya cuba untuk memenangi Liga Perdana dan diharapkan juga Liga Juara-Juara Eropah.

”Saya kecewa, tetapi kita akan lihat. Saya sangat profesional. Semua orang boleh melihat etika kerja saya. Saya hanya cuba menikmati bola sepak saya dan saya akan bermain di tahap tertinggi selagi boleh.”

“Saya hanya melakukan yang terbaik kerana inilah diri saya dan saya cuba memberikan segalanya untuk diri saya dan untuk kelab. Kita akan lihat apa yang akan berlaku seterusnya,” tambah Mohamed Salah lagi.

 

Sumber