Syarikat animasi tempatan terkemuka, MONSTA, mengeluarkan kenyataan rasmi dan penafian undang-undang berhubung penganjuran acara fun run yang dipercayai menggunakan nama, logo, watak serta jenama popular mereka tanpa kebenaran.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MONSTA, pihak syarikat menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hubungan, penglibatan, penajaan mahupun kerjasama dengan pihak penganjur acara berkenaan.

“MONSTA dengan ini menegaskan bahawa kami TIDAK mempunyai sebarang hubungan, penglibatan, penajaan atau kerjasama dengan penganjur acara fun run yang menggunakan nama, logo, watak atau mana-mana harta intelek milik MONSTA,” kata syarikat itu dalam kenyataan rasminya.

Jelas MONSTA lagi, acara ‘BoBoiBoy Fun Run’ tersebut tidak pernah mendapat sebarang kebenaran, lesen atau pengesahan bertulis daripada pihak syarikat.

Mana-mana penggunaan harta intelek tanpa kebenaran sah disifatkan sebagai satu pelanggaran hak di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan/atau Akta Cap Dagangan 2019.

Sehubungan dengan itu, pihak MONSTA turut menafikan sebarang liabiliti berkenaan acara tersebut, termasuk tuntutan kewangan, sebarang kecederaan, kerosakan harta benda, kemalangan mahupun kerugian yang berpunca daripada penganjuran atau penyertaan acara berkenaan.

Bagi melindungi hak mereka, MONSTA secara tegas tidak teragak-agak untuk mengambil langkah undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“MONSTA secara nyata menyimpan dan menegaskan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk tuntutan sivil dan/atau injunksi, terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar atau menyalahgunakan harta intelek MONSTA, tanpa sebarang notis lanjut,” tegas kenyataan itu.

Di samping itu, orang awam dan para peminat dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengaitkan sebarang acara fun run berkenaan dengan jenama MONSTA.

Sumber