Kementerian Pengangkutan (MOT) menyeru pihak industri dan pembangun perisian tempatan untuk memanfaatkan kemudahan data terbuka bagi menghasilkan aplikasi pengangkutan awam tersendiri.
Langkah ini menyusul selepas penguatkuasaan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam atas faktor keselamatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa dasar data terbuka yang dianjurkan kementerian sejak beberapa tahun lalu membolehkan maklumat operasi diakses secara meluas oleh pihak yang berhasrat membangunkan inovasi digital tempatan, petik Astro Awani.
“Dari segi data, kita lebih kepada data awam dan perkara ini memang sejak beberapa tahun lalu mengamalkan dasar data terbuka.
“Data terbuka dari segi jumlah penumpang, kekerapan, perjalanan tren dan sebagainya memang boleh diakses oleh mana-mana pihak yang mahu membina aplikasi,” kata beliau.
Mengulas soalan pemberita berhubung kesediaan MOT menyokong aplikasi buatan tempatan susulan isu keselamatan aplikasi luar, Anthony Loke menjelaskan bahawa Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) turut menyediakan data operasi yang lengkap bagi kegunaan umum dan pembangun sistem.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, ketersediaan data ini memberi peluang gilang-gemilang kepada bakat tempatan untuk mereka cipta platform yang lebih selamat serta memudahkan pengguna mengesan jadual dan perkhidmatan pengangkutan awam secara masa nyata.
“Jadi, sesiapa sahaja yang mahu membangunkan aplikasi pengangkutan awam boleh memanfaatkannya,” tambah beliau.