Pelumba Ducati Lenovo Team, Enea Bastianini mempamerkan tunggangan sempurna untuk menjuarai saingan MotoGP Grand Prix Malaysia 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, sebentar tadi.
Bermula daripada petak ketiga, Bastianini kemudiannya keluar dari selekoh pertama untuk mengejar Jorge Martin dan Francesco Bagnaia.
Baca Juga:
- GP Malaysia 2023: Francesco Bagnaia Raih Petak Pertama
- GP Malaysia 2023: Alex Marquez Ungguli Perlumbaan Sprint
- GP Malaysia 2023: Pedro Acosta Sahkan Gelaran Juara Dunia Moto2
Bermula daripada situlah pelumba yang mesra dengan panggilan ‘La Bestia’ itu kekal mendahului baki 20 pusingan litar dengan kepanjangan 5.54km berserta 10 selekoh kanan dan lima selekoh kiri tersebut.
Tidak memberikan laluan kepada pesaing-pesaing dibelakangnya, pelumba berusia 25 tahun itu merakamkan catatan masa 39 minit 59.137 saat.
Pelumba Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez yang memenangi perlumbaan sprint petang semalam berada di kedudukan kedua dengan ketinggalan 1.535 saat.
Manakala rakan sepasukan Bastianini yang merupakan pendahulu kejuaraan keseluruhan, Francesco Bagnaia menamatkan saingan di tempat ketiga.
Jorge Martin pula memastikan empat pelumba Ducati berada di kedudukan empat teratas dan dominasi itu dipecahkan oleh Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) yang menduduki tempat kelima.
Dengan kedudukan ketiga diraih, Bagnaia kini mengumpul 412 mata, berkelebihan 14 mata dihadapan pencabar terdekat, Martin.
Sementara itu, Marco Bezzecchi dari Mooney VR46 berada di kedudukan ketiga dengan 323 mata.
Tumpuan para pelumba selepas ini beralih ke Qatar apabila sirkit di Litar Antarabangsa Lusail bakal berlangsung 17 hingga 19 November nanti.