Sebelum ini Jose Mourinho pernah menyatakan bahawa Liga Turkiye sebenarnya sedang busuk dan rosak, ketika dia bengang dengan sistem dan budaya bola sepak di sana.

Mourinho berkata: “Liga Turkiye ini busuk, tiada siapa di luar sana (selain orang Turkiye) yang mengikuti liga ini.”

Mourinho turut mengkritik pengadil tempatan Turkiye yang menurutnya tidak berkualiti. Ketika aksi antara Fenerbahce dan Galatasaray, Mourinho menuai kritikan, sehingga presiden Galatasaray membuat laporan polis menuduh Mourinho rasis dan melakukan jenayah kebencian ke atas warga Turkiye.

Mourinho menyatakan bahawa aksi derbi yang panas seperti Fenerbahce vs Galatasaray elok kalau dilantik pengadil luar, bukannya pengadil Turkiye yang menurut Mourinho kerap gagal mengendalikan aksi besar. Dan dia melabel pengadil di Turkiye sebagai toksik.

Kini bola sepak Turkiye benar-benar dalam masalah. Ini apabila Persatuan Bola Sepak Turkiye (TFF) mengeluarkan kenyataan bahawa lebih separuh daripada pengadil mereka di semua peringkat terlibat dalam perjudian sukan.

Di Turkiye dan negara Eropah lain, pengadil, jurulatih dan pemain bola sepak dilarang sama sekali terlibat dalam perjudian sukan terutama sekali bola sepak.

Persekutuan Bola Sepak Turkiye mendedahkan bahawa seramai 371 daripada 571 pengadil dalam liga profesional mempunyai akaun pertaruhan sukan.

Seterusnya, 42 daripada mereka terlibat dalam perjudian pertaruhan dalam lebih daripada 1,000 perlawanan — berdasarkan rekod pada akaun mereka.

Skandal ini dianggap sebagai skandal perjudian terbesar melibatkan pengadil di negara Turkiye.

Presiden TFF, Ibrahim Ethem Hacıosmanoğlu mengumumkan bahawa TFF memulakan kertas prosiding tatatertib dan berjanji akan melakukan penambahbaikan menyeluruh terhadap pengadilan, malah juga terhadap sistem bola sepak di Turkiye.