Tabiat minum kopi di kalangan rakyat Malaysia ini bermula dari sejak zaman dulu lagi apabila ia diperkenalkan oleh pegawai askar Inggeris semasa tempoh penjajahan British. Ada juga menyatakan kopi datang ke Tanah Melayu lebih awal dari itu.

Dulu kopi juga sinonim dengan kopitiam iaitu bisnes kedai kopi yang dijalankan oleh peniaga keturunan Cina Hainan dan Hokkien di pekan-pekan dan warung kopi di kampung-kampung. Kini, budaya kopi bukan lagi sekadar di kopitiam dan warung kopi.

Kewujudan kedai kopi moden bercirikan mewah dan gaya funky telah menjadikan budaya kopi ini sebagai satu urban lifestyle di bandar-bandar besar terutama di kalangan generasi muda hari ini.

Kredit: Coffeeandtealover.com
Kredit: Coffeeandtealover.com

Kopi tempatan juga bukanlah satu-satunya pilihan yang ada kerana kedai kopi moden ini turut memperkenalkan kopi jenis espresso, macchiato, mocha, latte, cappuccino dan sebagainya. Harganya pula bukanlah dalam kadar mampu minum kerap kerana ia boleh mencecah RM7.00 ke atas bagi secawan kopi.

Maka, seorang penggemar kopi telah mencari resipi di Google dengan harapan dapat menikmati kopi dengan cara yang murah, sedap dan senang. Dia mencubanya beberapa kali sehinggalah dia berjaya menemui cara buat kopi ala kafe hipster di rumah. Kemudian dia kongsikan cara penyediaannya di Facebook. Dia ialah Amran Husni.

Amran Husni jadi gila kopi selepas balik dari Melbourne, Australia. Dia ke sana untuk menghadiri majlis graduasi adiknya. Dia terkejut “Coffee Culture” atau budaya kopi di Australia sangat besar kerana orang-orang dari segala pelusuk dunia yang menetap di Australia telah membawa bersama mereka budaya tersebut.

Dengan mudahnya anda akan menemui kopi gaya tradisi Itali, Perancis dan lain-lain. Hidangan kopi juga diolah mengikut budaya hipster orang Australia. Menurutnya lagi, memang banyak kafe-kafe hipster yang menjual kopi sedap di sana.

Baiklah, cukup dengan sedikit pengenalan tentang budaya kopi. Ini saya mahu kongsikan cara Amran Husni membancuh secangkir cappucino yang lazat setanding kafe hispter di luar sana, menurut katanya.

kopi 10

Konsepnya meliputi 3 bahagian ini untuk membuat air kopi cappucino. Jadi, kalau guna 60ml atau 80ml atau 90ml espresso, anda perlu memastikan susu dan foam (buih) juga dengan kadar yang sama banyak/tinggi dalam secangkir cawan.

Cara Penyediaan Cappucino Di Rumah

Langkah 1: Sediakan serbuk kopi jenis fresh roast and ground coffee.

kopi 01

Amran Husni (AH): Aku beli kopi Tesco je. Yang dah siap gilis. Harga yang hitam tu RM18 n (dan) merah RM10. So boleh la buat dalam 30-40 cawan. Terpulang korang nak cari brand n jenis camana (macam mana).

Langkah 2: Sediakan french press.

kopi 02

AH: Ni namanya french press. Beli kat MR.DIY dalam RM10. Banyak jenis n yang bagus brand BODUM. Mahal tapi tahan. So bubuhlah dalam 8 sudu kecil serbuk kopi. Nak lagi umph letaklah dalam 10-15 sudu. Ikut selera masing-masing.

Langkah 3: Sediakan air panas.

kopi 03

AH: Bubuh air panas dalam 80ml. Jangan letak air mendidih (sebab) nanti kopi akan hangit. Dan kacau guna sudu perlahan. Pastikan guna sudu plastik, kaca dan kayu. Jangan besi sebab boleh jejaskan rasa kopi tu.

Langkah 4: Compress bancuhan air kopi.

kopi 04

AH: Pas (selepas itu) 3-4 minit tekan perlahan-lahan batang tu. Jangan lama sangat rendam kopi tu sebab akan hangitkan rasa kopi tu. Buh (letak) dalam cawan dan bersihkan french press tu.

Langkah 5: Sediakan susu segar yang panas.

kopi 05

AH: Panaskn susu segar. Aku slalu guna Goodday Fresh Milk. Dalam 80ml dan tutup api bila dah nampak susu tu berasap. Jangan sampai mendidih, nanti (susu) jadi ketulan keju (susu mengental) lak.

Langkah 6: Kocakkan susu.

kopi 06

AH: Tuang dalam french press tu dan kocak susu tu guna penekan tu sampai buih jadi sama dengan kuantiti susu.

kopi 07

Inilah hasil kocakan tadi. Buih sama dengan level susu.

Langkah 7: Campurkan bancuhan susu dan kopi.

kopi 08

AH: Dan tuang perlahan-lahan (susu) bersama kopi tadi.

Langkah 8: Jom minum!

kopi 09

AH: Tadaaa! Siap! Tambahlah gula satu sudu kalau nak rasa manis. Ikut selera memasing. Nak buat corak macam kat kedai tu aku tak reti la. Janji boleh minum masuk tekak aku, settle.

Klik Siri Mudahnya – untuk ketahui apa lagi yang anda boleh dibuat di rumah dengan mudah.

Amran Husni, seorang bekas eksekutif kewangan di Petronas dan kini berniaga memang suka kopi dan akan mencuba pelbagai jenis kopi meninggalkan satu pesanan buat anda:

“Just enjoy coffee the way you like. Sebab sedap di mulut kita tak bermakna sedap di mulut orang lain dan sebaliknya.”

Tonton video di bawah untuk lebih jelas tentang cara penyediaannya: