Siapa sahaja tidak mahu menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapanya selepas telah menumpahkan kasih sayang dan wang ringgit sepanjang penjagaan dari kecil sehinggalah ke menara gading?
Namun niat seorang gadis yang mahu memenuhi segala kemahuan ibu bapanya berakhir dengan kisah tragis apabila dirinya dibebani hutang mencecah jutaan ringgit.
Memetik mStar, anak bongsu daripada tiga beradik ini menceritakan semula bagaimana titik kisah gelap ini boleh berlaku yang mana pada tahun 2021 ayahnya terpaksa menjual rumah kediaman mereka walaupun pinjaman sudah hampir selesai.
Nak kahwin grand sampai gadai kediaman

“Asalnya tak nak jual tapi sebab pujukan abang ngah yang cakap dia akan membelikan rumah untuk ayah dengan bersyarat, jadi terjual juga.
“Syaratnya kena selesaikan pinjaman peribadi yang diambil masa dia nak kahwin. Tapi selepas semua selesai, tiba-tiba dia cakap tak boleh belikan rumah sebab komitmen tinggi.
“Ayah merajuk, tiap-tiap hari meratib tak nak mati dalam rumah sewa,” kongsinya yang ketika itu masih menetap bersama ibu dan bapa dalam sebuah bilik di rumah abang keduanya.
Lebih menghibakan lagi apabila bapanya kerap merungut dan merasakan dianiaya anak sendiri sehingga kehilangan aset berharga.
Situasi sedih itu berlanjutan sehingga tahun 2022 apabila bapa secara mengejut sakit sehingga perlu menjalani pembedahan.
Perlu membuat pinjaman untuk pembedahan

Oleh itu, abang keduanya itu terpaksa membuat pinjaman kewangan bagi menampung kos pembedahan.
“Ayah masih menangis dan meratib tak mahu mati dalam rumah sewa, aku jadi sebak dan mula fikir nak bantu ayah.
“Selama ayah di hospital, akulah yang jaga manakala abang long dan abang ngah bagi duit belanja atau beli barang keperluan,” tambahnya.
Pada ketika itu, dia yang pernah melupakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian demi menurut kehendak kedua ibu bapanya juga meluahkan rasa bangga kerana dapat berbakti kepada mereka ketika sakit.
Pada mulanya yakin sebab pendapatan bisnes yang gempak

Walaupun perlu menjaga kedua orang tuanya, dia tidak risau dengan pendapatan bulanan kerana bisnes miliknya memberi pulangan lumayan sekitar RM5,000 sehingga RM6,000.
“Aku terus buat permohonan pembelian rumah dan pinjaman kenderaan… kedua-duanya lulus tapi aku perlu pilih satu.
“Sebagai anak muda, aku mahu kereta tetapi mak dan ayah aku nak rumah sampaikan kami tak bertegur sapa selama dua minggu.
“Jadi aku turutkan juga pada tahun 2023 dapatlah kunci rumah. Cumanya aku dah pokai sebab bisnes merosot,” keluhnya.
Kongsinya lagi, selepas menyuarakan masalah dialami, dia terkejut apabila diminta pula untuk membuat pinjaman peribadi di institutis perbankan supaya ibu bapanya dapat berpindah masuk ke rumah baru.
“Memang tak mahu tambah hutang sebab loan rumah pun hampir RM2,000 sebulan kena bayar, tapi serba salah dan akhirnya buat juga pinjaman.
“Mak minta belikan meja makan, sofa televisyen, kabinet dapur dengan duit loan. Penghujung tahun 2023 pula, bisnes semakin merosot sebab pembekal tipu aku dan menyebabkan kerugian RM12,000,” tulsinya lagi.
Oleh itulah, dia terpaksa mencari kerja sepenuh masa sambil buat kerja sambilan supaya boleh menampung bebanan hutang yang semakin menimbun.
Gagal bayar pinjaman rumah selama 6 bulan
Malah, gadis itu terpaksa menjejakkan kaki ke mahkamah ekoran gagal melangsaikan hutang pinjaman rumah selama enam bulan.
Kesannya, dia merasa tertekan sehinggakan mahu memberontak lebih-lebih lagi apabila melihat rakan sebaya yang lain boleh hidup dengan gembira tanpa perlu menghadapi jerih perih kehidupan sepertinya.
Jadi, timbul rasa kesal terlalu menurut segala kehendak ibu bapa yang akhirinya memakan diri di kemudian hari.