Bekas pemain skuad kebangsaan, Muslim Ahmad mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila dilaporkan bakal membuat kemunculan dalam satu perlawanan Muay Thai.
Perkembangan itu dikongsikan oleh laman facebook Kelantan MuayThai Channel yang memaparkan poster perlawanan T-Fight 2.8 antara Muslim Ahmad menentang Atingpek pada 24 Februari ini di Padang Serai, Kedah.
Baca Juga:
- Johan Ghazali Anggap Muay Thai Lebih ‘Real’ Berbanding Silat
- Atlet Muay Thai 16 Tahun Malaysia Berjaya Tewaskan Lawan Dalam Masa 16 Saat, Bawa Pulang RM44,000
- Lihat Filem Pendek Tentang Atlet Wanita Muslim Dalam Sukan ‘Muay Thai’
Ia adalah perlawanan ‘Regu Special Fight’ yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam di pusat beli belah, C-Mart.
Malah, laman facebook rasmi T-Fight turut berkongsi video beliau tengah giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi perlawanan tersebut.
Sukan Muay Thai memerlukan setiap anggota tubuh bersedia sepenuhnya untuk menyerang dan bertahan dengan menyasarkan pada tangan, kaki, lutut dan siku.
Muslim sebelum ini beraksi bersama Terengganu (2021), Kelantan (2016) dan Pahang (2017-2023) berkata, dia masih lagi belum memikirkan masa depannya dalam bola sepak tempatan selepas ini.
Pemain yang berusia 35 tahun itu pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat kali pertama pada tahun 2010 ketika dibawah kendalian Datuk K.Rajagobal.
Beliau juga merupakan antara tonggak utama Datuk Ong Kim Swee dalam skuad emas negara yang meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Palembang.
Berdasarkan kesungguhannya dalam video latihan T-Fight, Muslim dijangka akan terus menceburi sukan Muay Thai yang dilihat lebih serasi dengannya.