Bersempena dengan Malaysia menggalas tanggungjawab  sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM Museum and  Art Gallery, BNM MAG) melancarkan dua pameran terbaharu, iaitu ‘Keunggulan Numismatik: Sejarah  Tertempa, Warisan Terukir’ dan ‘Rona & Kata’.

Kedua-dua pameran ini dianjurkan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat ASEAN (ASEAN Finance  Ministers’ and Central Bank Governors’ Meeting, AFMGM) ke-12 yang berlangsung dari 7 hingga 10  April 2025 di Kuala Lumpur.

Baca Juga:

Majlis pelancaran pameran ini diadakan pada 9 April 2025 dan diserikan  dengan kehadiran 10 Gabenor dari negara ASEAN, melambangkan kerjasama dan kesatuan serantau. 

Pameran Keunggulan Numismatik meneroka evolusi mata wang dengan memaparkan duit syiling  pertama dunia, wang kertas pertama yang ditemui pada abad ketujuh, serta kulit siput gerus yang  berfungsi sebagai duit seawal 2,000 sebelum masihi.

BNM

Pameran ini secara langsung membawa  pengunjung mengenali kisah 18 buah kerajaan purba di Asia Tenggara melalui duit syiling dan wang  kertas, di samping diorama ’Pasar ASEAN’ yang menggambarkan suasana pasar terkenal di seluruh  ASEAN masa kini.

Pengunjung juga akan mendapat gambaran tentang pertukaran budaya yang  membentuk rantau ini dan berpeluang melihat beberapa artifak dan replika yang jarang ditemui dari negara-negara ASEAN. Selain itu, pengunjung akan turut dapat mempelajari peranan bank pusat di  negara-negara tersebut. 

Rona & Kata merupakan pameran hasil interaksi dinamik antara karya seni dengan kesusasteraan  yang memaparkan lebih 150 karya seni dari Malaysia dan ASEAN. Pameran ini dibahagikan kepada  tiga bahagian, iaitu ‘He, the Colour and the Word’, ‘Inspired by Words’ dan ‘Letters from ASEAN’.

Pengunjung akan dapat menghayati teks puisi yang digabungkan dengan elemen visual, muzik, filem  dan juga ilustrasi yang diadaptasi daripada karya kesusasteraan. Pameran ini turut menampilkan  beberapa karya seni yang langka dari pelbagai negara ASEAN. 

BNM

Pengarah BNM MAG Noreen Zulkepli berkata, “Pameran BNM MAG kali ini bukan sekadar pameran  biasa, tetapi merupakan gerbang ilmu untuk meraih pemahaman yang mendalam dan bermakna  terhadap kisah-kisah serta sejarah yang menyatukan ASEAN menerusi mata wang dan karya seni.

“Pameran ‘Keunggulan Numismatik’ dan ‘Rona & Kata’ membuktikan bahawa budaya memainkan  peranan penting dalam merapatkan jurang dan menggalakkan perbincangan yang meninggalkan kesan  sepanjang zaman.” 

Kedua-dua pameran ini turut menyediakan sudut bergambar yang menarik serta beberapa aktiviti  interaktif bagi memastikan para penggunjung mendapat pengalaman budaya yang menyeronokkan ketika berkunjung. Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan cenderahati istimewa yang diinspirasikan  daripada dua pameran ini di Kedai Muzium.

Cenderahati ini membolehkan pengunjung membawa  pulang sebahagian daripada cetusan pengalaman bernilai daripada pameran tersebut. 

Pameran berkembar ini membuktikan kesungguhan BNM MAG untuk memupuk dialog budaya dan  kesefahaman dalam kalangan negara ASEAN serta menawarkan pengalaman yang berharga kepada  pengunjung untuk mengenali kepelbagaian budaya serantau.

Kedua-dua pameran ini akan dibuka kepada orang ramai bermula pada 10 April hingga 12 Oktober 2025. Peminat seni dan sejarah serta keluarga dan para pencinta budaya dialu-alukan untuk melawat dan menghayati sendiri pameran ini. 

Sementara itu, Financial Services Library juga telah melancarkan pameran ‘Pages of ASEAN’ di Asian  Institute of Chartered Bankers (AICB) dari 7 April hingga 30 Mei 2025.

Pameran ini menampilkan  pelbagai penerbitan dan bahan eksklusif dari negara ASEAN, jualan buku serta ulasan buku yang  diadakan dengan kerjasama International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF) University.  

Jangan lepaskan peluang menyaksikan pameran buku gergasi yang diusahakan dengan kerjasama  Perpustakaan Negara Malaysia serta Reruai U-Pustaka, sebuah perpustakaan digital percuma yang  mengetengahkan e-buku, buku audio dan lain-lain.  

Untuk maklumat lanjut, sila layari museum.bnm.gov.my atau ikuti kami menerusi Facebook  @BNM.MAG, Instagram @bnmmag dan X @BNM_MAG