Dua bank terkemuka tempatan, Maybank dan CIMB Bank didenda oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan gangguan beberapa perkhidmatan perbankan yang berpanjangan, petik BERNAMA.
Denda yang dikenali sebagai Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) itu menyebabkan Maybank perlu membayar denda sebanyak RM4.32 juta, sementara CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank perlu RM760,000.
Memetik BERNAMA, BNM melaporkan bahawa Maybank membayar penalti penuh denda AMP pada 8 Ogos 2024. CIMB pula membayar denda pada 12 Ogos 2024.
“AMP itu dikenakan kerana ketidakpatuhan perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), bersama-sama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT),” kata BNM.
Memetik laporan itu lagi, di bawah perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi.
Antara 1 Jun 2023-31 Mei 2024, aplikasi Regional Mobile Bank Platform (RMBP) dan MAE Maybank mengalami beberapa kali masa terhenti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan terhadap beberapa antara muka perkhidmatan perbankan dengan pelanggan.
Tambah BNM, pelanggan CIMB turut menghadapi gangguan perkhidmatan yang berpanjangan pada 8-9 April 2024. Gangguan itu menjejaskan saluran e-perbankan, ATM, dan kedua-dua perkhidmatan kad debit dan kredit.