My Chemical Romance bukan sekadar kumpulan rock berimej emo, namun mereka juga adalah simbol budaya kepada era emo itu sendiri.

9/11 Jadi Permulaan

Segalanya bermula pada tahun 2001, apabila Gerard Way menyaksikan keruntuhan menara World Trade Center. Ketika itu, dia menganggap peristiwa 9/11 sebagai kiamat kepada dunia.

Gerard Way merasakan seolah-olah Tuhan memberikannya peluang kedua untuk hidup. Lalu, dia nekad untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidupnya.

Gerard Way dan Matt Pelissier kemudiannya menubuhkan My Chemical Romance. Gerard merekrut gitaris Ray Toro kerana dia mahu fokus sepenuhnya kepada nyanyian dan tidak mahu terikat dengan gitar.

My Chemical Romance
Foto: Rolling Stone

Daripada pengalaman menyaksikan 9/11, Gerard mendapat ilham untuk menulis lagu “Skylines and Turnstiles”, dengan lirik seperti:

“This broken city sky like butane on my skin / Stolen from my eyes”

“And after seeing what we saw / Can we still reclaim our innocence”.

Kumpulan ini terkenal dengan gaya muzik emo, punk rock, dan alternative rock.

Mereka juga sering menampilkan imej gotik, membawa pendengar menyelami perspektif karakter seperti vampire, zombie dan sebagainya.

Asal Usul Nama My Chemical Romance

Nama band My Chemical Romance dicadangkan oleh adik Gerard, iaitu Mikey Way.

Mikey bekerja di Barnes & Noble ketika itu dan sangat menyukai judul buku “Ecstasy: Three Tales of Chemical Romance”. Nama itu dianggap sangat unik dan ‘cool’.

My Chemical Romance: Fenomena Budaya, Nostalgia & Peneman Generasi 2000-an
Gerard Ways dengan buku yang menjadi ilham nama kumpulannya

Ketika menghasilkan cakera padat demo, Gerard Way menjadi vokalis, Ray sebagai gitaris utama dan Matt Pelissier sebagai pemain dram. Mereka menghantar – The Attic Demos – yang mengandungi lagu seperti “Our Lady of Sorrows” (sebelum ini disebut “Bring More Knives”), “Cubicles”, dan “Skylines and Turnstiles”.

Selepas Mikey Way berhenti daripada pengajian kolejnya, dia menyertai MCR.

Diskografi

Album pertama mereka, “I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love (2002)”, diterbitkan melalui label indie Eyeball Records.

Mereka mencapai kejayaan komersial menerusi album kedua “Three Cheers for Sweet Revenge (2004)”, yang melonjakkan populariti mereka secara besar-besaran.

Lagu “Helena” menjadi siulan anak muda ketika itu dan lagu hits di serata dunia.

Jika album pertama lebih kepada pengenalan karakter dan hala tuju kumpulan ini, album kedua lebih matang, mendalam dan jelas. Mereka mula memperkukuh karya dari segi lirik, gubahan lagu, adunan muzik dan juga imej visual.

Album ketiga “The Black Parade (2006)” menjadi karya ikonik dan album konsep yang dianggap klasik dalam genre emo.

Ramai peminat menganggapnya sebagai magnum opus untuk MCR.

Album keempat “Danger Days: The True Lives of the Fabulous Killjoys (2010)” – membawa tema yang lebih berwarna dan futuristik.

MCR berpecah pada tahun 2013 tetapi membuat kemunculan semula pada tahun 2019 dengan konsert reunion dan mengumumkan jelajah dunia.

Jadi Ikon Budaya

MCR mula menjadi rujukan dan ikon budaya dalam kalangan remaja ketika itu — yang kini sudah beranak cucu.

MCR dikenali dengan imej gelap, lirik mendalam tentang kesedihan dan perjuangan hidup, serta konsep visual dramatik dalam persembahan dan muzik video mereka. Mereka dianggap antara kumpulan paling berpengaruh dalam era emo 2000-an.

Misalnya, imej suit hitam Gerard Way menjadi ikon dalam dunia fesyen muzik.

My Chemical Romance: Fenomena Budaya, Nostalgia & Peneman Generasi 2000-an

Legasi dan Nostalgia

Walaupun bagi sesetengah orang, MCR hanyalah sekadar band punk rock, namun bagi peminat mereka yang melalui zaman remaja bersamanya, kumpulan ini adalah lebih daripada itu.

Oleh itu, anda tidak perlu menjadi peminat fanatik untuk menghargai dan terpanggil membeli tiket konsert My Chemical Romance.

Ia mewakili nostalgia era 2000-an – simbol kepada muzik punk rock yang menembusi arus perdana daripada sub-budaya alternatif.

Apabila melihat seseorang berimej emo, gotik atau mengenakan suit hitam, pasti ramai akan teringat kepada MCR.

My Chemical Romance ke Malaysia adalah satu peluang untuk generasi muda era 2000-an kembali ke zon selesa, untuk melayan jiwa yang pernah duka, termasuk ketika putus cinta dan saat melankolik.

@tim.collins

NO ONE UNDERSTANDS MOI 💔🥀 (featuring my dad) #millennialsoftiktok #nostalgia #2000sthrowbacks #emophase #emokid #emoboy #childhoodmemories #2000snostalgia #comedy #skit #roadtrip

♬ original sound – tim collins

Mereka juga mewakili dunia muzik keras yang mendayu, yang menjadi peneman di waktu kelam dan sedih. Justeru, MCR kekal sebagai fenomena budaya yang masih hidup dalam dunia muzik.

Sehingga kini, ramai peminat masih mendengar lagu mereka berulang kali, mengenang bagaimana muzik mereka menjadi peneman setia zaman remaja.

Menariknya, Malaysia menjadi antara destinasi di mana Gerard Way dapat bertemu secara langsung dengan para peminat dari era keemasan itu.

Kami ajak anda lihat banter menarik – bagaimana teori domino Gerard Way kononnya membawa kepada Ellen DeGeneres akhirnya diboikot setelah sekian lama berpengaruh.

My Chemical Romance South East asia 2026 – Live di Kuala Lumpur

MCR akhirnya datang semula ke Kuala Lumpur. Kepada peminat tegar My Chemical Romance, jangan lupa temujanji anda dengan kumpulan punk rock legenda ini pada 30 April 2026 – di Stadium Nasional Bukit Jalil.

MCR

Tiket mulai dijual pada 11 Julai 2025 di Go Live Asia. Tiket bermula RM299 sehingga RM1,099.00. Anda  boleh baca terma dan syarat serta info lanjut di Go Live Asia di pautan – My Chemical Romance South Eas Asia 2026 – Live Di Kuala Lumpur.