Pada awal pagi semalam pengumuman syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) menutup operasinya serta merta telah mengejut ramai pihak, lebih-lebih lagi para penumpang yang sudah membeli tiket daripada pihaknya.

Kementerian Pengangkutan memberitahu MYAirline akan memulangkan bayaran balik RM20 juta kepada 125,000 penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasinya berkuat kuasa semalam.

Baca Juga:

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan maklumat diterima, sebanyak 125,000 tiket telah terjual untuk penerbangan ke pelbagai destinasi sehingga Mac 2024.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, sebanyak 125,000 penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasi ini, mengapa, sebab syarikat telah jual tiket sampai Mac akan datang.

“Jadi, biasanya, untuk sekali tempah dalam rekod syarikat jual tiket hingga Mac depan. Nilai tiket keseluruhan sebanyak RM20 juta.

“Namun, MYAirline telah memberi jaminan akan menunaikan kewajiban mereka dan membuat balik kepada penumpang yang terjejas apabila mereka menemui pembiaya,” katanya dalam sidang media di Parlimen semalam.

Menurut Anthony Loke, jaminan itu telah diberikan MYAirline kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Kementerian Pengakutan akan memastikan hak penumpang dilindungi dan Mavcom akan memantau rapat situasi ini.

Terdahulu, tiga syarikat penerbangan lain, MAS, AirAsia dan Batik Air telah menghulurkan bantuan kepada penumpang-penumpang MYAirline yang terjejas.