Aplikasi mudah alih MyJPJ bakal ditambah baik bulan hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mengurangkan kebergantungan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap ejen pihak ketiga bagi sebarang urusan transaksi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif tersebut bertujuan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan digital JPJ, sekali gus menjadikan perkhidmatannya lebih mudah dicapai oleh semua pengguna, termasuk warga asing, petik New Straits Times.
Beliau menjelaskan bahawa lonjakan mendadak dalam transaksi yang dijalankan menerusi aplikasi itu telah mendorong kementerian untuk mempertingkatkan fungsi serta ciri keselamatan aplikasi berkenaan secara berterusan.
“Peningkatan pesat urus niaga menerusi aplikasi ini membolehkan kementerian sentiasa menaik taraf kefungsian dan langkah keselamatannya.
“Jadi, menjelang bulan depan, lebih banyak ciri baharu akan diperkenalkan dalam aplikasi MyJPJ,” katanya dalam satu sidang media.
Loke turut menegaskan bahawa matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan orang ramai dapat berurusan secara terus dengan JPJ tanpa perlu menggunakan khidmat pihak luar.
“Lama-kelamaan, kita berharap lebih ramai orang akan menggunakan MyJPJ secara terus untuk perkhidmatan berkaitan JPJ dan tidak perlu melalui mana-mana pihak ketiga. Ini sasaran kita. Walau bagaimanapun, untuk merealisasikannya, kita perlu membuat persediaan rapi,” tambah beliau.
Menurut Loke, pihak kerajaan kini mengguna pakai pendekatan bertingkat (phased approach) untuk meluaskan saluran perkhidmatan terus demi memecahkan monopoli yang telah lama wujud dalam sektor pengangkutan negara.