Seorang lelaki tempatan mendapati kad pengenalannya (MyKad) yang dicuri 12 tahun lalu telah digunakan untuk membuat pinjaman bagi membeli sebuah iPhone 16.

Di dalam hantaran yang tular di Facebook, lelaki yang dikenali sebagai Hafis berkongsi bagaimana berjaya mengetahui MyKadnya telah diklon selepas kejadian pecah rumah pada tahun 2013, di mana pencuri telah melarikan dompet dan telefon bimbitnya.

Mykad
Sumber Gambar: FB

Tepek gambar sendiri pada MyKad mangsa

Lebih teruk lagi, pencuri didakwa meletakkan gambar sendiri pada MyKad Hafis untuk memalsukan identiti.

Kemudian, suspek telah menggunakan ic klon terbabit bagi tujuan pinjaman iPhone 16 Pro Max 1TB menerusi AEON kredit di sebuah kedai elektronik di Cheras baru-baru ini.

Susulan perkara itu, Hafiz telah membuat dua laporan polis dan satu lagi laporan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mykad
Sumber Gambar: FB

Hafis turut berkongsi rakaman CCTV yang menunjukkan suspek mengambil iPhone tersebut selepas menggunakan MyKad yang dicuri dan dipalsukan untuk membeli peranti itu.

Hidup tidak tenang selepas bongkar insiden itu

Dalam pada itu, dia meluahkan hidupnya menjadi tidak keruan selepas mengetahui insiden itu dan risau jika kalau suspek akan membuat perkara yang sama di masa kelak menggunakan identiti dirinya lagi.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menahan seorang lelaki tempatan di ibu negara semalam yang disyaki memiliki MyKad klon.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menyatakan lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Kampung Pandan pada pukul 7:30 malam.

Semasa sidang media, yang dikongsikan di Facebook beliau, Saifuddin berkata penahanan itu dibuat selepas JPN menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa MyKadnya telah diklon dan digunakan untuk membeli sebuah iPhone melalui pinjaman daripada sebuah syarikat pembiayaan berlesen.

JPN kemudian menjalankan risikan sehingga suspek ditahan semasa waktu berbuka puasa pada hari Jumaat (8 Mac), di mana JPN turut menemui satu lagi MyKad palsu di dalam dompetnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 25(1)(e), 25(1)(a) dan 25(1)(g) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Apabila ditanya sama ada ini melibatkan sindiket, Saifuddin berkata mereka masih menyiasat perkara itu dan memberi petunjuk tentang lebih banyak tangkapan pada masa hadapan.