Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan beliau tidak kecewa atau ‘koyak’ dengan kegagalan pasukannya mara ke final Piala FA selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Kuching City.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu lebih mempersoalkan insiden panas yang berlaku ketika aksi separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, kelmarin.

Kuching City memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 2-0 sekali gus mengesahkan tempat ke final. Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari insiden kekecohan melibatkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.

Pan-gon secara khusus mempersoalkan tindakan pemain Kuching City, Nazmi Faiz Mansor yang didakwa datang ke kawasan bangku simpanan Selangor ketika meraikan jaringan.

Dipetik daripada sumber Kosmo Online, Kim berkata:

“Pemain yang menjaringkan gol tidak boleh datang ke bangku simpanan pasukan lawan dan menyerang ketua jurulatih. Nombor lapan, Nazmi (Faiz Mansor), itu yang menjadikan keadaan kucar-kacir.

“Akan ada menang dan kalah, namun mesti adil, semangat kesukanan dan menghormati pasukan lawan. Saya mahu MFL siasat,” katanya.

Dalam masa sama, Pan-gon turut mempersoalkan tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain dan pegawai Selangor FC susulan insiden berkenaan.

Menurutnya, pemain Kuching City berhak meraikan jaringan mereka, namun tindakan menghampiri bangku simpanan pasukan lawan tidak sepatutnya berlaku.

“Mereka boleh menjaringkan gol, meraikannya, namun jangan datang ke bangku simpanan lawan. Saya tidak tahu apa yang berlaku jika mereka (pemain dan pegawai pasukan Selangor) tidak menghalang.

“Menang layak ke final, kami kalah tidak mengapa. Pastikan ada semangat kesukanan dan ini sangat penting,” katanya.

Pan-gon menegaskan kekalahan dalam perlawanan bola sepak adalah perkara biasa, tetapi aspek keadilan dan sikap saling menghormati perlu sentiasa dipelihara.

Beliau mahu MFL menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut.