Mantan Perdana Menteri Malaysia dan juga mantan Presiden UMNO, Najib Razak pada hari ini memohon pembebasan penuh jika hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Difahamkan pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ia antara relif yang diminta dalam permohonan agar Sequerah menarik diri yang difailkan hari ini.

“Dalam keadaan Yang Arif membenarkan permohonan kami ini (supaya Sequerah menarik diri), kami memohon supaya keseluruhan perbicaraan ini dibatalkan dan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan.

“Secara alternatif, pilihan kedua ialah supaya perbicaraan ini didengar oleh hakim baharu dan pilihan ketiga, supaya perbicaraan bersambung dan diteruskan oleh hakim mahkamah tinggi baharu,” ulas peguam bela kepada Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Dilaporkan pasukan pembelaan Najib berkata mereka sedang menimbang untuk membuat permohonan itu berhubung pendedahan Sequerah yang dia pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo, individu yang kini dalam tahanan berkaitan skandal 1MDB.

Sementara itu, Najib Razak yang sebelum ini mahukan kes mahkamahnya dibicarakan dengan penuh adil telah mendapat pelbagai respon di kalangan netizen di mana terdapat kelompok netizen yang menyokongnya dan terdapat juga kelompok yang menolaknya.