Nama ‘Muhammad‘ kini mencipta fenomena di England dan Wales, sehingga ia menjadi pilihan utama untuk bayi lelaki pada tahun 2023, mengalahkan nama-nama popular seperti Noah dan Oliver, lapor MalaysiaKini.

Menurut data terbaru yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) pada Khamis, lebih daripada 4,600 bayi lelaki didaftarkan dengan nama Muhammad pada tahun lalu, lapor Agensi Anadolu (AA).

Populariti nama ini bukanlah sesuatu yang baru.

Muhammad telah berada dalam senarai 10 nama teratas sejak 2016, tetapi kini secara rasmi mengambil alih kedudukan teratas, memecahkan tradisi nama-nama klasik seperti Noah, yang jatuh ke tempat kedua dan Oliver di tempat ketiga.

Populariti nama Muhammad adalah disebabkan kepelbagaian budaya yang semakin berkembang di England dan Wales, memandangkan Islam adalah agama kedua terbesar di UK.

Nama ini mempunyai makna yang mendalam dalam Islam, iaitu “yang terpuji,” merujuk kepada Nabi Muhammad SAW, tokoh penting dalam agama tersebut.

Sementara itu, nama bayi perempuan paling popular kekal tidak berubah.

Olivia mengekalkan kedudukan sebagai pilihan utama, diikuti oleh Amelia dan Isla, sama seperti tahun 2022.

Kejayaan nama Muhammad mengungguli carta mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Ada yang melihatnya sebagai simbol penerimaan masyarakat terhadap kepelbagaian agama dan budaya, manakala yang lain menganggapnya sebagai ‘ancaman’ kepada identiti tradisional British.

Menurut beberapa pemerhati, peningkatan ini juga didorong oleh populasi Muslim yang semakin bertambah di UK, di mana nama-nama tradisional Islam semakin diterima luas, bukan sahaja oleh komuniti Muslim, tetapi juga oleh masyarakat umum.