Gara-gara kerana prestasi mantap skuad kebangsaan di perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2023 bulan lepas, nama Kim Pan Gon dan Harimau Malaya kini semakin popular serta menjadi buah mulut dalam kalangan peminat bola sepak di Korea Selatan.

Kim Pan Gon juga bukan calang-calang orangnya kerana beliau merupakan bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) pada tahun 2018 hingga 2021.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ternyata pengaruh bekas jurulatih Hong Kong itu begitu kuat di negara kelahirannya sehingga apa sahaja yang dilakukannya untuk Harimau Malaya mendapat sorotan media di sana.

Tinjaun di laman YouTube mendapati terdapat lebih 10 buah video dalam bahasa Korea yang memaparkan kehebatan skuad Harimau Malaya sejak dibimbing oleh Kim Pan Gon.

Malah, video baharu mengenai kisah Kim Pan Gon sentiasa bertambah selang dua hari sehingga mendapat lebih 100,000 tontonan di sana.

Aksi Harimau Malaya sebelum ini pernah mendapat tumpuan salah sebuah stesen televisyen utama di Korea Selatan iaitu SBS Sports yang menyiarkan rangkuman pertembungan antara Malaysia menentang Singapura pada Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Januari lepas.

SBS Sports merupakan sebuah rangkaian sukan milik stesen televisyen SBS (Seoul Broadcasting System) yang menerbitkan program hiburan popular iaitu ‘Running Man’.

Situasi itu turut menarik minat para penyokong bola sepak Korea untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan pasukan Malaysia dalam setiap perlawanan di peringkat antarabangsa.

Apatah lagi Malaysia bakal bertemu skuad Korea Selatan yang kini dikendalikan oleh Jurgen Klinsmann di Piala Asia 2023 Qatar pada 25 Januari 2024 nanti.

“Korea Selatan tidak boleh pandang rendah terhadap Malaysia. Coach Kim adalah individu yang telah melantik bekas jurulatih B-20, Kim Eun Jung, bekas jurulatih bola sepak wanita, Colin Bell dan juga bekas jurulatih skuad Piala Dunia, Paulo Bento.

“Beliau adalah seseorang yang sangat mengenali bola sepak Korea Selatan,” kata @hanpyulkong3676 di ruang komen video YouTube.

Sejak dibawah kendalian Kim Pan Gon, Malaysia mengalami peningkatan mendadak dari segi kedudukan ranking FIFA daripada 154 hingga 130 dunia.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya tewas sekali dalam 8 aksi persahabatan antarabangsa yang diaturkan sejak bulan Mac 2023.

Harimau Malaya juga hampir mengejutkan dua pasukan dalam kelompok ranking 100 dunia iaitu China dan Syria pada bulan September lepas.

Kim Pan Gon akan terus mengendalikan Harimau Malaya bagi mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan objektif untuk menjadi 18 pasukan terbaik Asia.