Wee Meng Chee, atau lebih dikenali sebagai Namewee, sekali lagi mencuri tumpuan orang ramai apabila berlakon menjadi pengganas Afghanistan untuk muzik video terbaharunya.
Lagu dan muzik video yang bertajuk Hello Hater ini dikatakan dituju kepada industri hiburan China yang menapis karyanya. Setelah muzik video ini dikeluarkan, ada reaksi campuran dari penonton, sebahagian memuji beliau kerana berani, manakala yang lain pula mengkritik Namewee kerana salah menggambarkan budaya Afghanistan.
Klip yang berdurasi selama 4 minit tersebut menunjukkan Namewee berpakaian seperti seorang lelaki arab yang berada di padang pasir sambil diapit oleh penari dan kru yang bertindak seperti militan.
“Pakaian tradisional Afghanistan, walaupun bukan burka, pasti tidak menonjolkan. Hormatilah budaya lain,” kata salah seorang penonton, yang dikenali sebagai Ying Wen. Sebahagian penonton pula mendakwa Namewee adalah penipu kerana mendakwa musik video tersebut dirakam di Afghanistan yang baru-baru ini ditakluk Taliban.
Selain itu, video itu turut memaparkan kumpulan pengganas bernama Hello Hater yang bersembunyi di padang pasir. “Saya menyapa pembenci melalui Hello Hater,” kata Namewee pada video di belakang tabir.
“Saya tidak begitu peduli dengan pembenci … Tetapi jika mereka menyebarkan khabar angin palsu atau memutarbelitkan fakta mengenai saya … saya akan lawan,” tambahnya.
Di Hello Hater, Namewee malah memuji Taliban kerana “semangat juangnya” sambil mendorong peminat untuk meniru kumpulan itu.
“Mereka menyerbu kota untuk menyerang seluruh negeri. Anda tahu, semangat juang. Kita harus belajar dari mereka,” kata Wee.
Menurut Coconut KL, muzik video itu dikeluarkan selepas sebulan Namewee dilarang dari platform media sosial China, Weibo. Ini berlaku selepas Namewee menyamakan Parti Komunis China dengan kumpulan pengganas Islam.
Untuk rekod, Namewee dan kontroversi tidak dapat dipisahkan sejak 10 tahun dahulu, ini termasuk ketika dia didakwa menghina Islam dengan membuat video dengan orang yang memakai topeng anjing di hadapan sebuah masjid di Putrajaya.
Dia sebelum ini turut didakwa menghina Blackpink sehingga menaikkan kemarahan peminat kumpulan dari Korea Selatan tersebut. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.
Didakwa ‘Menghina’ Blackpink Dan Seksualkan Wanita, Peminat Tuntut Namewee Minta Maaf
Dituduh Hina Melayu Dengan Poster BABI, Namewee Akhirnya Buka Mulut