Seorang nenek berusia 106 tahun yang dianggap sebagai pesakit tertua di Britain, telah dibenarkan keluar dari hospital selepas pulih sepenuhnya dari wabak COVID-19.
Connie Titchen dipuji oleh pegawai perubatan ketika dia meninggalkan Hospital Bandar Birmingham pada hari Selasa, setelah tiga minggu berada di sana.
Dia yang bersara sebagai pekerja kedai runcit dimasukkan ke hospital pada pertengahan bulan Mac selepas disyaki mengalami radang paru-paru, kata hospital.
“Saya merasa sangat beruntung kerana saya telah melawan virus ini,” katanya kepada CNN.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sandwell dan West Birmingham NHS Trust, Titchen berkata bahawa dia tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarganya. NHS Trust juga menambah bahawa beliau adalah pesakit tertua di Britain yang berjaya mengatasi COVID-19.
Alex Jones menggambarkan neneknya sebagai seseorang yang tidak mudah mengalah dari apa pun, sambil menambahkan; “Dia telah menjalani kehidupan yang sangat aktif. Dia suka menari, berbasikal dan bermain golf.
“Dia juga selalu memasak untuk dirinya sendiri, walaupun dia sangat suka McDonald’s. Saya belum beritahu dia lagi bahawa McDonald tutup.
“Saya rasa rahsianya adalah dia aktif secara fizikal dan sangat berdikari. Dia menjalani pembedahan di pinggul pada bulan Disember tahun lalu dan dalam masa 30 hari dia sudah boleh berjalan kembali.”
Titchen dilahirkan pada bulan September 1913 dan mempunyai pengalaman dalam dua Perang Dunia.
“Sungguh hebat melihat dia pulih,” kata Kelly Smith, seorang jururawat. “Senang melihat pesakit meninggalkan wad kami setelah pulih dari virus ini.”
Covid-19 telah menjangkiti lebih daripada 2 juta orang dan membunuh sekurang-kurangnya 134,000 orang di seluruh dunia. Di UK secara khusus, terdapat hampir 100,000 kes dan hampir 13,000 kematian.
Untuk bacaan lanjut mengenai COVID-19, klik pautan di bawah.
Kerajaan India Arah Hospital Asingkan Pesakit COVID-19 Muslim Dan Hindu
Singapura Catat Rekod COVID-19 Tertinggi Dengan 728 Kes Baharu Dalam Sehari
Siap Sedia Hadapi Senario Terburuk, Argentina Gali 250 Kubur Untuk Mangsa COVID-19