Netflix dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan bidaan bagi hak siaran English Premier League (EPL) dalam menyaingi Sky Sports dan TNT Sports.
Gergasi penstriman itu sebelum ini hampir berjaya mendapatkan hak untuk Piala Super UEFA serta hak siaran Liga Juara-Juara di Jerman bagi tempoh 2027-31, namun tewas kepada Paramount.
Baca Juga:
- Netflix Naikkan Harga Selepas Catat Rekod Lonjakan Pelanggan

- Netlix ‘Sorok’ Banyak Kategori Konten – Dan Ini Cara Menontonnya
- Carragher: Hanya Diri Sendiri Sahaja Mampu Halang Arsenal Muncul Juara EPL

Meskipun mengalami kegagalan tersebut, kini mereka dilaporkan sedang mengintai peluang untuk memasuki saingan hak penyiaran liga bola sepak tertinggi England itu.
Sasaran Netflix Beralih Ke EPL
Menurut sumber laporan Goal, Netflix juga telah berusaha secara agresif untuk menyiarkan lebih banyak siaran sukan secara langsung termasuk membelanjakan hampir £4 bilion untuk WWE, di samping turut menyiarkan pertarungan tinju berprofil tinggi.
Selepas Paramount memenangi hak siaran UEFA Champions League di United Kingdom minggu lalu menerusi perjanjian bernilai sekitar £1 bilion, Netflix dijangka akan mencabar Sky dan TNT bagi kontrak hak siaran domestik Liga Perdana Inggeris.
Selain itu, gergasi penstriman tersebut juga dijangka bersaing dengan NBC untuk hak siaran liga bola sepak tertinggi England bagi pasaran Amerika Syarikat.
Laporan itu turut menyebut bahawa kontrak hak siaran domestik terkini akan tamat pada 2029, manakala kontrak NBC berakhir setahun lebih awal.
Perjanjian bernilai AS$2 bilion itu merupakan kontrak luar negara terbesar milik Liga Perdana Inggeris. Bidaan untuk pakej hak siaran seterusnya dijangka dibuka dalam tempoh setahun akan datang.
Bulan lalu, UEFA dilihat mengalu-alukan kemasukan platform seperti Netflix dan Disney ke dalam kelompok penyiaran mereka.
Sehubungan itu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menegaskan komitmen badan bola sepak Eropah itu terhadap inovasi dalam hak penyiaran.