Salah satu konten yang biasa kita lihat di TikTok adalah di mana seorang ‘influencer’ terkenal pergi membuat ‘review’ di kedai-kedai tepi jalan sambil membeli segala produk yang dijual.

Namun, seorang TikToker telah dibidas teruk apabila kontennya memperlihatkan perlakuan biadap terhadap seorang peniaga teh masala di ibu kota baru-baru ini.

Di dalam video terbabit, TikToker tersebut pergi mengunjungi kedai teh masala atas basikal terkenal lalu menawarkan wang RM100 kepada pemiliknya.

Sementara menyediakan teh masala sebanyak 100 cawan, dia bertanyakan sejumlah soalan sensitif dalam masa sama mempertikaikan saiz cawan dan cara penyediaan teh serta memainkan sentimen perkauman.

Malah, dia juga seakan menuduh pemilik bisnes tersebut mahu mengelak cukai pendapatan susulan berjaya meraih pendapatan cecah RM100,000 serta menyoal asal usul pemilik dan pekerjanya seolah-olah tidak mempercayai mereka adalah orang sini dan datang dari Bangladesh.

“Lesen ada sini? Tak payah lesen punyalah sini. Tepi jalan kena lesen meh?, soalnya.

Tidak sekadar itu, TikToker ini juga menyoal dengan nada sinis berhubung lesen dan mendakwa perniagaan di tepi jalan tidak memerlukannya.

Dia sempat menyimpulkan bahawa perniagaan ini boleh meraih RM100,000 sebulan dek kerana tidak perlu membayar lesen niaga serta lari dari bayar cukai pendapatan.

Sepanjang temu bual, boleh nampak raut wajah pemilik bisnes agak tidak selesa dengan  perlakuan dan juga soalan yang dilontarkan oleh TikToker terbabit.

Perkongsian video tersebut langsung menjadi bualan hangat di platform X dan rata-ratanya netizen menempelak perlakuan TikToker terbabit yang bukan sahaja biadap malah dilihat seperti mahu melingkupkan bisnes seseorang berbanding memberi sokongan seperti reviewer lain.

Netizen Bengang TikToker Biadap Buat 'Review' Macam Nak Lingkupkan Bisnes Orang
Sumber Gambar: X
tiktoker
Sumber Gambar: X

Dalam mempertahankan kredibiliti si penjual teh masala itu, netizen langsung mendedahkan jika kalau pemiliknya sudah banyak kali ditemu ramah oleh media massa tempatan dan semestinya dia akan akur untuk mematuhi segala peraturan kerana sudah diperhatikan oleh pihak berkuasa.

Malah, ramai yang membandingkan TikToker terbabit dengan nama besar seperti Pin Yang dan KA yang jauh lebih berbudi bahasa dan memberi impak besar kepada masyarakat.