Mat Rempit sepertinya tidak serik untuk melakukan aksi lagak ngeri di atas jalan raya meskipun sudah sejumlah kes kemalangan yang meragut nyawa dilaporkan pada saban hari.

Tular di platform media sosial yang dikenali sebagai X dengan sebuah video yang memperlihatkan Mat Rempit melakukan aksi lagak ngeri dalam berkumpulan dan berakhir dengan jatuh tergolek beramai-ramai.

Baca Juga:

Video itu bermula dengan aksi sekumpulan Mat Rempit yang memenuhi jalan raya lalu membuat gaya superman. Bagaimanapun, situasi ini berubah sekelip mata selepas salah seorang penunggang mengangkat sebelah tangan sekaligus dilihat tidak dapat mengawal motor kerana hilang keseimbangan lalu jatuh tergolek.

Disebabkan hal itulah, penunggang motor yang berada di belakangnya turut jatuh tersungkur kerana tidak sempat mengelak daripada motor yang menghalang laluan itu.

Perkongsian video itu dilihat mengundang kecaman netizen yang mana majoritinya meluahkan rasa geram dengan tindakan merbahaya yang dilakukan oleh sekumpulan penunggang motor tersebut.

“Tak faham apa yang diorang akan dapat dari berbuat benda camni. Menyulitkan urusan semua orang kalau dah jadi sebegini,” luah seorang pengguna di dalam hantaran itu.

“Dari seronok-seronok konvoi terus dapat MC sebulan, Dari bajet RM50 duit minyak, duit makan terus kena keluar modal RM600 betulkan motor,” komen seorang pengguna lagi terhadap tindakan Mat Rempit tersebut.

“Sakit dapat, malu pun dapat, saman pun dapat, itulah pendapat saya,” mesej ringkas yang dikongsikan oleh pengguna X.

“Hobi kami mahal, nyawa kami murah”, ujar sinis oleh seorang pengguna lain kepada segelintir Mat Rempit yang dilihat bangga berbuat sedemikian.

Malah, ada yang mempersoalkan bagaimana Mat Rempit sanggup membahayakan nyawa sendiri demi keseronokan semata-mata.