Sejak kejadian pelancong wanita dari India terjatuh ke dalam tanah mendap, timbul beberapa dakwaan dan spekulasi di media sosial.

Paling terbaharu dan mendapat liputan meluas di kalangan netizen adalah artikel berhubung ‘gua kosong yang amat besar’ terletak di bawah bandaraya Kuala Lumpur yang diberitahu oleh Dr Sarah Jamal, seorang ahli geologi terkemuka Universiti Malaya (UM).

“Jabatan menegaskan bahawa tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di Universiti Malaya.

“Juga, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal didaftarkan di dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia,” kata Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan dalam satu kenyataan di Facebook rasmi.

Jelasnya lagi, artikel yang tular itu adalah tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu.

Setiap staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India yang melibatkan kehilangan nyawa, memandangkan kerja-kerja SAR dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih lagi berjalan sehingga ke hari ini.

Pada masa sama punca sebenar kejadian masih tidak dapat dipastikan.