Kecekapan penganjuran acara sukan antarabangsa terus menjadi perhatian peminat tempatan dan serantau berikutan perkongsian tular di platform media sosial Threads mengenai perbandingan tahap kecekapan pengendalian perlumbaan Formula One (F1) Grand Prix (GP) di Malaysia baru-baru ini.

Seorang pengguna Threads meluahkan pandangannya secara terbuka dengan memuji sistem penganjuran GP Singapura yang disifatkannya sangat teratur dan cekap berbanding di Malaysia.

“Harap maaf, tetapi kita masih belum mampu menandingi betapa teraturnya perlumbaan GP Singapura. Daripada kemudahan hinggalah sistem pengurusan, semuanya boleh dikatakan sempurna,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Hantaran tersebut mendapat maklum balas positif dan matang daripada seorang pengguna media sosial dari Singapura yang menggesa orang ramai agar tidak membuat perbandingan secara melulu tanpa mengambil kira faktor kekangan masa dan infrastruktur.

Pengguna dari negara jiran itu menjelaskan bahawa persiapan di Malaysia menghadapi cabaran tersendiri selepas berehat daripada penganjuran acara berprestij itu untuk jangka masa yang agak lama, selain hanya mempunyai tempoh persiapan yang singkat.

“Sebagai warga Singapura, jangan buat perbandingan sedemikian. Pihak anda (Malaysia) hanya mempunyai masa tiga bulan untuk menyiapkan segala-galanya, termasuk fungsi sokongan seperti makanan dan minuman (F&B) serta pengangkutan selepas bertahun-tahun berehat.

“Singapura sudah menganjurkannya bertahun-tahun dan banyak kemudahan sedia ada kerana lokasinya di dalam bandar. Jika kami hanya diberi masa tiga bulan sekalipun, kami hanya perlu menyusun semula dan bukannya bermula dari awal,” jelas netizen Singapura itu.

 

View on Threads

 

Beliau turut memberi sokongan moral buat peminat sukan di Malaysia agar menghargai setiap kejayaan yang dicapai di samping menilai semula kelemahan yang ada demi penambahbaikan pada masa hadapan.

“Lihatlah sesuatu perkara mengikut realiti, raikan kejayaan anda, nilai kekurangan yang ada dan harapkan ada peluang untuk melakukannya lagi dengan lebih baik. Salam kedamaian dan kasih sayang buat rakan se-Asia Tenggara,” tambahnya lagi.

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata menyokong pandangan membina berkenaan dalam usaha meningkatkan mutu penganjuran acara bertaraf dunia di rantau ini.