Tidak salah untuk menjadi kreatif dalam mencipta menu makanan baharu dalam memberi kelainan. Namun, biarlah kombinasi sesuatu juadah itu logik dek akal dan tidak mengarut.
Baru-baru ini, tular sebuah video yang dimuat naik oleh KL Foodie di TikTok yang memperlihatkan seorang peniaga menawarkan menu unik di gerai burgernya.
Berdasarkan rakaman tersebut, burger ayam yang dipesan oleh pelanggan telah ditambah dua scoop aiskrim gabungan pelbagai perisa iaitu vanilla, coklat dan strawberi.
@kl.foodie Fried Chicken Burger Ice Cream 📍 @burgerjilegend ⏰6pm-1am (Sunday off)
Hantaran tersebut bagaimanapun mengundang kecaman netizen apabila ramai yang mengelar ia sebagai satu menu yang merapu serta meloyakan tekak. Bagi mereka, gabungan ayam goreng bersama aiskrim didapati tidak bersesuaian.
Susulan itu, ada yang mempersoalkan mengapa semakin ramai peniaga di Malaysia suka cuba membuat gabungan makanan yang merepek.
Mereka juga menuduh penawaran menu-menu sebegini menjadi punca kepada peningkatan penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan obesiti di negara ini.