New Balance Malaysia memutuskan untuk menarik balik dan menghentikan penjualan salah satu kasutnya di Malaysia buat sementara waktu selepas mendapat pengesahan bahawa sebahagian kecil kasut itu mengandungi bahan kulit babi.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat kasut dan pakaian sukan antarabangsa itu berkata pihaknya telah menyiasat secara menyeluruh bahan kasut bernombor model U990TA4 itu selepas menerima beberapa pertanyaan berhubung bahan yang digunakan.

“Ketepatan dan ketelusan adalah penting kepada pasukan kami di New Balance dan kami memohon maaf kepada mana-mana pelanggan yang menerima maklumat tidak tepat daripada pasukan kami.”

Syarikat itu selanjutnya berkata bahawa ia akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan komunikasi ini dan komited untuk menyediakan “penyelesaian yang memuaskan” untuk pelanggan yang terjejas.

Sehubungan itu, jenama itu mengumumkan bahawa pelanggan yang telah membeli kasut U990TA4 daripada New Balance Malaysia, Crossover dan ATMOS KL, sama ada di kedai atau melalui laman web berhak mendapat pertukaran produk atau bayaran balik penuh di mana-mana kedai New Balance di Malaysia.

Pertukaran produk atau bayaran balik penuh ini berkuat kuasa serta-merta dan sah sehingga 3 bulan. Tambahan pula, New Balance Malaysia telah menarik balik dan menghentikan penjualan model kasut itu dan memaklumkan rakan kongsi dan pengedarnya untuk melakukan perkara yang sama sehingga pelabelan dikemas kini.